Wednesday, October 26, 2011

Pesona Kim Hyun Joong



Artis K Pop kini bagaikan cendawan tumbuh. Baik lelaki, perempuan, solo ataupun berkumpulan, masing-masing punya personaliti dan kredibiliti tersendiri. Pun begitu, ia tidak pula menggugat kedudukan pelakon dan penyanyi popular Korea, Kim Hyun Joong.

Bekas ahli SS501 ini, nyata punya aura dan pesona tersendiri. Bukan sahaja berbakat dalam lakonan, Hyun Joong, juga meneruskan pengaruhnya dalam nyanyian. Tampil dengan album kedua, Hyun Joong, sedia menggegarkan peminat dan dunia K Pop!


Bakal terbitkan album kedua, Lucky

Wajahnya yang cute, sering kali menghiasi kaca televisyen dan mudah menawan hati peminat. Drama seperti, Playful Kiss dan Boys over Flowers, adalah antara drama yang menaikkan nama Kim Hyun Joong.

Bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan, Hyun Joong juga berbakat dalam nyanyian dan tarian. Malah dia merupakan ketua kumpulan SS501.

Menyusuri perjalanan karier seninya, Hyun Joong, mula berjinak dalam bidang seni sejak di zaman persekolahan lagi. Dia pernah mempunyai ‘boy band’ dan merupakan pemain gitar bass bagi kumpulannya.

Hyun Joong, kemudiannya menyertai kumpulan SS501 setelah mengikuti satu sesi uji bakat yang diperkenalkan rakannya pada 2005.

Dia dilihat mempunyai aura tersendiri dan mampu pergi jauh dalam bidang seni suara.

Bersama tujuh ahli SS501, Hyun Joong, melakar kejayaan demi kejayaan, namun perjalanannya sedikit tergugat apabila dua ahlinya meninggalkan kumpulan itu. Sehinggalah tamat kontraknya pada Jun tahun lalu, Hyun Joong nekad membawa haluan sendiri dan fokus pada lakonan.

Ternyata percaturannya berjaya, apabila lakonannya memberi impak besar terhadap kerjaya seninya.

Semakin bersinar

Bintang Hyun Joong semakin bersinar apabila dia menyertai program realiti, We Got Maried pada 2008. Dalam program itu, dia berpasangan dengan Hwang Bo dan mereka dikenali dengan gelaran Couple Salad.

Bagaimanapun, mereka tidak bertahan lama dan keluar dari program itu.

Hyun teruk dikritik peminat, namun ia tidak menghalangnya untuk bangkit kembali dan membintangi drama terbitan Jepun, Boys Over Flower pada 2009.

Membawakan watak, Yoon Ji Hoo, dia kembali mencuri tumpuan peminat, sekali gus mendapat tempat di hati pengarah drama di Korea.

Drama bersiri itu juga turut ditayangkan di seluruh negara Asia, termasuk India, Taiwan, Singapura dan Malaysia. Ia membuatkan Hyun Joong lebih dikenali dan mempunyai ramai peminat di segenap rantau Asia.

Ketika menjalankan promosi drama itu, Hyun Joong, mengejutkan ramai pihak apabila berita mengenainya dijangkiti Influenza A (H1N1) tersebar dan terpaksa membatalkankehadirannya di majlis Anugerah Drama Antarabangsa di Seoul.

Setelah kembali pulih, Hyun Joong, kembali melaksanakan tanggungjawabnya mempromosikan drama itu. Sikapnya yang berdisiplin dan mesra peminat membuatkan jejaka ini mudah mendampingi sesiapa sahaja.


Kembali menyanyi

Sungguhpun kontraknya bersama kumpulan SS501, sudah tamat. Namun cintanya dalam bidang nyanyian masih menebal. Menurut Hyun Joong, keinginannya untuk menyanyi tidak pernah padam. Maka tidak hairanlah, dia kembali melancarkan album solo pertamanya, Break Down, Jun lalu.

Memuatkan lima lagu, Let Me Go, Break Down, Please, Kiss Kiss dan Yes I Will. Album itu berjaya mendapat sambutan hangat daripada peminatnya dan terjual lebih 100,000 unit dalam seminggu.

Dalam masa sama, albumnya turut mengungguli carta muzik Gaon, Korea, selama seminggu dan carta Oricon di Jepun dalam kategori album antarabangsa yang diimport untuk minggu pertama Julai. Bahkan, dia turut meraih kemenangan selama dua minggu berturut-turut di Muzik Bank KBS2 menerusi lagu Break Down.

Terbaru, Hyun Joong, hadir mengubati kerinduan peminat dengan album keduanya yang berjudul Lucky, yang baru sahaja dilancarkan awal bulan ini. Mengandungi lima lagu seperti, Do you like that, Lucky Guy, Smile, I’m Your Man dan U, album ini dijangka mendapat sambutan hebat sekali gus meletakkan, Hyun Joong, antara artis tersohor di Korea.

Menurut Hyun Joong, dia yakin dengan kejayaan album barunya itu. Selain memenuhi selera peminat, dia juga amat menitikberatkan kualiti muzik dan lagu. Malah, jejaka ini juga bersedia untuk menawan lebih ramai peminat.

Popularitinya juga memberi laluan mudah buat jejaka kacak ini bergelar duta produk. Malah sering menjadi pilihan jenama terkenal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: