Wednesday, October 26, 2011
Muruku, jajan disukai 1Malaysia
Sambutan Deepavali pasti tidak meriah tanpa muruku yang memang terkenal dalam kalangan kaum India. Jika dulu kita boleh lihat kuih muruku ini diusahakan oleh kebanyakan kaum India, kini ia tidak lagi menjadi perkara mustahil apabila kaum lain turut berjinak-jinak mempelajari cara membuat muruku dan memasarkannya.
:Muruku kini bukan sahaja digemari kaum India, malah Melayu dan Cina juga turut sama merasakan kelazatan muruku yang juga boleh dianggap sebagai kuih 1Malaysia. Melihat keghairahan masyarakat Malaysia kepada kuih muruku, di tambah pula dengan kemeriahan penganut Hindu meraikan perayaan Deepavali hari ini, wartawan Sinar Harian NURUL NAZRAH NAZARUDIN mengambil peluang bertemu dengan seorang peniaga Melayu, Zaiton Matt yang mengusahakan perniagaan muruku di bawah jenama Samuza, sekali gus mendapatkan informasi mengenai pelanggan berbilang kaum yang menggemari muruku keluaran syarikatnya, Samuza Enterprise.
Berkat air tangan ibu saudara
Minat menjual muruku timbul apabila merasa muruku hasil ‘air tangan’ ibu saudaranya yang juga menjual muruku seara kecil-kecilan di Pulau Pinang.
Sedar akan potensi kuih muruku yang dihasilkan ibu saudaranya, Zaiton, 53, membawa pulang 10 bungkus muruku untuk diberikan kepada rakan-rakannya di Manjung bagi mendapatkan respons.
Setelah percubaannya mendapat maklum balas positif, Zaiton menerima tempahan daripada rakan-rakannya yang ingin membeli muruku sama kerana menurut mereka muruku tersebut sedap dan rasanya lain daripada yang ada di pasaran.
Zaiton kemudiannya membeli 50 bungkus muruku lagi dan ternyata kuih tersebut habis dijual dalam tempoh singkat.
Justeru itu, Zaiton merasakan ini adalah peluangnya untuk mempelajari sendiri cara membuat muruku dan menjualnya kepada rakan-rakan.
“Pada mulanya, saya hanya bertanya kepada emak saudara cara membuat muruku dan bahan-bahannya yang diperlukan. Benarlah kata orang, belajar secara teori pasti tidak menjadi.
“Saya cuba untuk membuat muruku sendiri di rumah dan mengeluarkan belanja dalam RM1,000 untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan, tetapi malangnya rasanya tidak sama seperti yang emak saudara saya buat,” katanya ketika ditemui di Halal Fiesta Malaysia (HALFEST 2011) di Kuala Lumpur.
Pengorbanan berbaloi
Melihat pada keadaan itu, Zaiton mengajak suaminya, Abdul Samah Mohammed, 53, pulang ke kampung menemui ibu saudaranya bagi mempelajari sendiri cara membuat muruku.
Ternyata pengorbanannya berbaloi apabila muruku yang dibuat kali ini hasil tunjuk ajar ibu saudaranya menjadi. Biarpun, penjualan muruku yang dibuat Zaiton telah bertukar tangan, namun rasanya tetap sama seperti yang dibuat oleh emak saudaranya.
Zaiton mula menjual muruku yang dibuat sendiri dengan membeli tiga kilo tepung kacang yang boleh menghasilkan 100 bungkus.
“Dalam masa tidak sampai lima hari, kesemua muruku habis dijual. Selain menerima tempahan daripada rakan, saya juga ada menghantar ke kedai runcit,” katanya.
Selain menjual muruku dengan harga RM1.20 sebungkus, Zaiton turut menerima tempahan muruku untuk kenduri kahwin.
Lebih kurang tiga tahun membuat muruku secara manual, Zaiton kemudiannya membeli sebuah mesin RM3,000 bagi mempercepatkan proses membuat muruku.
“Biarpun menggunakan mesin, namun permintaan kuih muruku tepung kacang ini tetap sama dan sentiasa meningkat,” katanya yang menerima jualan RM400 semasa mula menjalankan perniagaan.
Tubuh Samuza Enterprise
Setelah melihat perkembangan positif perniagaan meruku itu, Zaiton menubuhkan Samuza Enterprise yang memfokuskan muruku sebagai produk utamanya.
Zaiton turut menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak yang menyediakan peruntukan mesin dan pengisar untuk perniagaannya, serta bantuan dari segi pembungkusan oleh Sirim.
“Muruku keluaran syarikat saya mendapat sambutan daripada pelbagai kaum,” katanya sambil memberitahu permintaan terhadap murukunya meningkat setiap kali tiba musim perayaan.
Intai pasaran luar negara
Menurut Zaiton, setakat ini, Samuza Enterprise hanya menghasilkan dua perisa muruku iaitu menggunakan tepung kacang dan tepung pulut.
Menyedari perisa muruku boleh dikembangkan lagi, Zaiton merancang untuk menambah dua lagi perisa iaitu ikan dan udang.
“Saya juga menerima tawaran daripada Perak Halal yang ingin memberikan sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan bagi memudahkan perniagaan saya.
“Dalam masa sama, saya juga ingin memperkenalkan muruku Samuza Enterprise ke Dubai kerana orang-orang di sana kebanyakannya suka makanan ringan,” katanya sambil memberitahu jualan murukunya kini mencecah kira-kira RM3,000 sebulan.
Biarpun kini Samuza Enterprise hanya tertumpu kepada penjualan muruku namun, Zaiton juga memasang hasrat memperkenalkan makanan sejuk beku jika ada :kilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: