Tuesday, October 4, 2011

Majikan Berhati Mulia

Wong (hadapan) pernah meringkuk di dalam penjara sebanyak dua kali pada tahun 2002 dan 2010.

JIKA melihat secara luaran, tiada siapa akan menyangka mereka mempunyai sejarah hitam kerana pernah melakukan jenayah sehingga meringkuk dalam penjara.

Dua lelaki ini kelihatan begitu bersahaja. Namun dengan memikul status sebagai bekas banduan sehingga ke akhir hayat ternyata bukan sesuatu yang mudah.

Chan, 50, dan Wong, 42, (kedua-duanya bukan nama sebenar) merupakan bekas penghuni Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kedua-duanya adalah anak kelahiran Taiping, Perak tetapi tidak mempunyai pertalian saudara atau terlibat dalam kes jenayah yang sama kerana hanya dipertemukan di Rumah Perantaraan selepas masing-masing tamat tempoh hukuman penjara.

Chan berkata, dia dihukum penjara kerana terlibat dalam satu kes samun dua tahun lalu dan ketika itu bekerja sebagai buruh binaan.

“Saya begitu tertekan apabila hari untuk dibebaskan semakin hampir. Saya runsing kerana tidak mempunyai keluarga lagi dan sudah berpisah dengan isteri.

Chew (dua, kiri) dan anaknya, Chew Eng Shen, 26, (kiri) memberi penerangan tugas kepada Wong dan Chan.

“Bukannya tidak ada pengalaman bekerja (sebelum dipenjarakan) tetapi saya sudah tua. Susah untuk dapat kerja, lebih-lebih lagi saya adalah bekas banduan,” katanya.

Menurut Chan, dia mempunyai kepakaran dalam kerja pertukangan kayu kerana telah dilatih untuk membuat perabot sewaktu dalam tahanan di penjara.

“Kisah lalu (perbuatan jenayah) bukan bermakna saya tidak berguna. Saya mampu membuat kerja-kerja di mana orang lain sendiri tidak tahu melakukannya,” katanya.

Bukan status

Sementara itu, Wong pula berkata, pengalaman dua kali meringkuk dalam penjara membuatkannya serik dan insaf dengan jenayah lampau yang dilakukannya.

Dia pertama kali dipenjarakan pada 2002 apabila disabitkan kesalahan memiliki senjata api manakala kesalahan kedua pada 2010 kerana mencuri.

“Saya masih mempunyai keluarga tetapi sudah terputus hubungan. Dan saya tidak mahu mereka tahu yang saya pernah dipenjarakan,” katanya.

Menurut Wong, pengalaman yang diperoleh sewaktu berada di penjara dalam proses pemulihan banduan memberikannya kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Saya diberikan kemahiran untuk membuat kraftangan dan melukis. Ia ibarat persediaan kepada saya untuk melakukan kerja di luar penjara.

“Seperti yang saya sedang lakukan ini,” katanya yang ketika itu sedang mengetam kayu menggunakan mesin untuk dijadikan kerangka pintu rumah.

Chan dan Wong berasa amat bertuah kerana mempunyai majikan yang sudi mengambil mereka untuk bekerja tanpa memikirkan status sebagai bekas banduan.

Peluang kedua

Majikan kepada Chan dan Wong iaitu Chew Kai Liap, 63, mengusahakan perniagaan bersama keluarga membabitkan kelengkapan binaan rumah sejak 10 tahun lalu.

Chew berkata, dia dimaklumkan oleh salah seorang ahli keluarganya mengenai Program Rumah Perantaraan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara.

“Difahamkan, program tersebut sedang mencari majikan-majikan yang sudi memberi kerjasama dengan menawarkan pekerjaan kepada bekas banduan.

“Ia merupakan situasi menang-menang kerana Jabatan Penjara membantu mencari pekerjaan untuk bekas banduan manakala saya pula mendapat pekerja.

“Ini terutama dalam keadaan sekarang yang begitu sukar untuk mendapatkan pekerja di kalangan rakyat tempatan dan hanya bergantung pada pekerja asing,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat kebimbangannya sewaktu memutuskan untuk mengambil bekas banduan untuk bekerja di syarikatnya, Chew hanya tersenyum.

“Program Rumah Perantaraan sebenarnya memberi keyakinan kepada saya untuk menggaji mereka meskipun diketahui kedua-duanya pernah melakukan jenayah.

“Saya harus berfikiran positif. Jika saya tidak beri peluang (kerja), kesannya pasti lebih buruk yang memungkinkan mereka kembali melakukan jenayah.

“Mereka (bekas banduan) juga adalah manusia biasa yang tidak sempurna dan kadang-kala melakukan kesalahan maka wajar diberi peluang kedua sekiranya benar-benar insaf dan mahu berubah untuk tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: