DAYA tarikan Perth yang terletak di Australia Barat ialah ia hanya lima jam penerbangan dari Kuala Lumpur.
Jadi berkunjung ke Perth bolehlah dianggap dekat dan tidak memenatkan. Bagaimanapun pengembaraan ke Perth, tidak lengkap tanpa berkunjung ke ladang buah-buahannya yang terletak di lereng-lereng bukit yang mengelilingi bandar ini.
Dari bandar Perth kita akan dapat melihat banjaran bukit ini.
Sebenarnya terdapat tidak kurang daripada 21 daerah yang menghasilkan buah-buahan di Australia Barat.
Tetapi daerah Roleystone adalah pusat pengeluaran buah-buahan yang paling popular kerana ia terletak berdekatan dengan Perth.
Jauhnya cuma kurang lebih 25 kilometer atau 35 minit perjalanan dari bandar ini.
Jika anda seorang yang sangat tajam pemerhatian, ketika kenderaan anda sedang mendaki daerah berbukit ini, anda akan dapat melihat bandar Perth sayup-sayup dari jauh.
Dan di Roleystone pula, ladang buah-buahan yang paling popular di kalangan para pelancong asing terletak di Reaburn Road.
Di sepanjang Raeburn Road sahaja terdapat tidak kurang daripada lima ladang besar yang terletak dalam lingkungan 5 kilometer radius.
Antara yang popular di sini ialah Raeburn Orchard yang beralamat di No.4, Raeburn Road, Roleystone. Ladang ini terletak di lereng bukit yang kecil dan boleh dilawati oleh pelancong tetapi tidak dibenarkan memetik buah.
Ladang Raeburn menawarkan buah-buahan yang baru dipetik dari ladang pada harga yang murah.
Antara buah musim panas yang dipetik dari ladang ini termasuklah nektarin, pic, plum, ceri, aprikot, pisang kaki (persimmon), epal, pir, buah delima, oren dan limau mandarin.
Ketika penulis berkunjung ke sini pada Mac lalu, para pekerja Ladang Raeburn baru sahaja selesai memetik buah pir, nektarin, pic, plum dan aprikot. Pisang kaki kelihatan kuning keemas-emasan di atas pokok tetapi masih belum waktunya untuk dipetik.
Buah pisang kaki dan nektarin Roleystone disifatkan sebagai yang terbaik di Australia.
Geram penulis tengok berjuntai-juntai di atas pokok tetapi sayang tidak dibenarkan untuk memetik.
Seperkara yang penulis perhatikan ialah pokok-pokok dari keluarga pic seperti nektarin, plum dan aprikot kelihatan serupa dengan pokok epal iaitu daunnya tirus panjang dan jika tidak berbuah nescaya kita tidak akan dapat membezakannya melainkan pokok pisang kaki, yang mana daunnya adalah lebar-lebar belaka.
Inilah buat pertama kali penulis melihat pokok pisang kaki dari dekat. Di samping itu, Ladang Reaburn juga popular dengan ais krim buah-buahannya.
Ia dikatakan yang paling sedap di Australia.
Ladang ini dibuka tujuh hari seminggu dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: