DAUN pintu besi kecil berwarna coklat dibuka. Bunyi pintu bergema untuk seketika.
Pintu kecil itu merupakan sebahagian daripada pintu utama yang hanya mampu memuatkan seorang sahaja untuk pergerakan keluar dan masuk pada satu-satu masa.
Kelihatan seorang lelaki berbadan tegap lengkap beruniform yang bertugas sebagai wadar penjara keluar dari pintu berkenaan bagi mengiringi seseorang.
Dia yang diiringi keluar itu hanya berpakaian biasa. Lama juga dia berdiri sejurus selepas menjejakkan kaki di hadapan pintu utama Penjara Kajang, Selangor.
Sambil memandang ke arah langit cerah, dia menarik nafas panjang kesyukuran kerana mengembalikan dia ke dunia nyata yang selama ini dinantikan saban waktu.
Hari itu merupakan hari dia dibebaskan. Secara rasminya dia bukan lagi pesalah namun tiada siapa yang tahu bukan mudah untuk memikul status bekas banduan.
Tiada seorang pun datang untuk menjemputnya pada hari itu. Pelik kerana dia bukan anak yatim piatu, masih mempunyai ibu bapa dan ahli keluarga serta sanak-saudara.
Hukumannya di dunia berganda bersilih ganti. Selain dipenjarakan, dia turut disisihkan oleh keluarga hanya kerana kesalahan lampau.
Tiada siapa ambil peduli. Sudahlah tidak menyambutnya pada hari pembebasan malah tidak pernah melawatnya walau sehari sepanjang dia dipenjarakan bertahun-tahun.
Ini belum lagi penerimaan dan pandangan serong sesetengah pihak yang pasti ‘lebih kejam’ menganggap bekas banduan hanyalah sampah kepada masyarakat. Kasihan.
Ketakutan tidak dijangka
Dia tidak mempunyai sesiapa untuk bergantung harap, tiada tempat berteduh apatah lagi pekerjaan sebagai sumber pendapatannya bagi memperoleh sesuap nasi. Hati kecilnya meronta-ronta antara mahu kembali masuk ke penjara atau dibiarkan berpelesiran mencari nasib yang masih samar-samar. Ke mana hala tuju bekas banduan ini? Adakah dia akan berteduh di tempat asing seperti di bawah jambatan atau cenderung kembali melakukan jenayah?
‘Destinasi’ tersebut bergantung pada sejauh mana kekuatannya untuk melawan nafsu dan kekebalannya dalam menempuhi cabaran serta dugaan yang amat sukar itu.
Yusof (bukan nama sebenar), 42, antara bekas banduan yang berhadapan dengan dilema itu pada hari pertama dia dibebaskan selepas tamat tempoh hukuman penjara.
“Keluarga tidak pernah ambil tahu tentang diri saya. Mereka tidak tahu pun saya dipenjarakan atau dibebaskan,” katanya kepada Mingguan mStar yang ditemui di Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penglibatan Yusof melakukan jenayah dalam beberapa siri rompakan pada tahun 2008 telah menyebabkan dirinya terpaksa meringkuk dalam penjara selama 40 bulan.
Baginya, hari pembebasan merupakan satu ketakutan yang tidak dijangka meskipun ia sepatutnya merupakan berita paling gembira bagi mana-mana banduan di penjara.
“Siapa yang tidak suka dibebaskan tetapi mahu tinggal mana dan bagaimana untuk cari kerja? Siapa yang mahu ambil kami (bekas banduan) sebagai pekerja mereka?
“Bila difikirkan, semua perkara itu hanya menjadi beban. Bagaimana kami hendak menyesuaikan dengan persekitaran di luar,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Kehidupan baru
Dalam kekecewaan itu, Yusof bagaimanapun menginsafi akan kekhilafannya kerana melakukan jenayah sebelum ini dan berazam untuk membina kehidupan baru.
Namun bukan bantuan kewangan yang diminta kerana anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu mempunyai kudrat dan tulang empat kerat untuk mencari rezeki halal.
“Golongan (bekas banduan) seperti kami memerlukan sokongan. Kami mahu berubah maka berilah kepercayaan kepada kami untuk melakukan perubahan itu,” katanya.
Yusof kini mempunyai pekerjaan sebagai pembantu am di salah sebuah organisasi di Kuala Lumpur sekali gus membuktikan dia boleh bernafas dengan titik peluh sendiri.
“Rumah Perantaraan menjadi ‘penyelamat’ kepada saya dan juga rakan-rakan senasib (bekas banduan). Di sini, saya dibantu untuk membina keyakinan dalam diri.
“Mengharungi kehidupan di luar tembok penjara begitu mencabar tetapi Rumah Perantaraan merupakan satu platform kepada kami belajar untuk menjadi individu lebih baik,” katanya yang pernah menghuni rumah itu pada Disember tahun lalu.
Yusof kini boleh tersenyum kerana hasil simpanan menerusi pendapatannya beberapa bulan membolehkan dia membeli motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.
Dia sudah pun berpindah ke Kampung Baru, Kuala Lumpur pada April lalu apabila majikannya menyediakan kemudahan penginapan untuk para pekerja.
Yusof berazam untuk membeli rumah menggunakan simpanannya sendiri dan mahu hidup berkeluarga dengan bahagia seperti insan lain pada suatu hari nanti.
Bukan sesuatu yang mustahil bagi Yusof untuk melihat keinginan itu menjadi realiti. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Di sebalik hari pertama dibebaskan dari tembok penjara itu dia dan bekas-bekas banduan lain diberikan peluang kedua untuk menjalani kehidupan baru.
Rumah Perantaraan membantu memberi harapan yang sedikit-sebanyak melancarkan liku-liku perjalanan mereka dalam merencana kehidupan sendiri selepas itu.
Bersesuaian dengan nama, ia menghubungkan antara kehidupan dalam tembok besar berjeriji besi dan dunia luar yang senantiasa dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: