Friday, October 21, 2011

Hapus tabiat beli cetak rompak!

Malaysia harus mencontohi Jepun dan Amerika Syarikat, yang mengharamkan terus kegiatan cetak rompak seterusnya membantu meningkatkan industri seni tempatan.

Pengarah Urusan Innoform Media (M) Sdn Bhd, Maria Chan berkata, dalam usaha kerajaan membanteras kegiatan lanun cetak rompak, masyarakat turut memainkan peranan penting bersama-sama membantu membunuh kegiatan ini.

Menurutnya, di Jepun sudah memerangi kegiatan haram ini sehingga hampir sifar. Malangnya, ia sukar dibendung di negara ini memandangkan sikap rakyat di negara ini lebih menyokong kegiatan tersebut.

“Banyak syarikat di negara ini mempunyai lesen hak cipta eksklusif bagi menerbitkan dan mengedar bahan VCD dan DVD tulen hampir gulung tikar kerana masyarakat negara ini masih menyokong industri cetak rompak.

“Perkara seperti ini bukan sahaja merugikan penerbit atau pengedar malah menjejaskan mutu pengeluaran filem industri seni tempatan yang turut menelan belanja jutaan ringgit untuk menerbitkan filem,” kata Maria di ibu pejabatnya di Bandar Tun Razak , Cheras.

Maria berkata, syarikatnya sentiasa memberi sokongan penuh kepada filem industri tempatan tetapi sikap masyarakat menyokong cetak rompak membantutkan perkembangan industri seni negara ini.

Maria berkata, dalam era teknologi yang tinggi sekarang, selera penonton filem turut meningkat dengan penggunaan teknologi seperti 3D dan kesan khas atau special effect.

Katanya, selagi sokongan lanun cetak rompak ini berterusan, tidak ramai pengeluar filem yang mampu menerbitkan filem yang berkualiti tinggi kerana melibatkan kos tinggi dan pada masa sama pembeli terus menyokong bahan cetak rompak .

Dalam pada itu, Maria berkata, persatuan Video Filem Malaysia (VIFIM) yang turut dianggotai Innoform Media turut secara konsisten mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk membanteras kegiatan lanun cetak rompak di negara ini.

“Sememangnya pihak kerajaan sentiasa membantu industri tempatan seperti membanteras kegiatan haram ini tetapi saya rasa banyak lagi perkara-perkara yang boleh diperbaiki bagi membantu industri ini.

“Dalam masa sama, kerajaan haruslah komited bagi memerangi lanun cetak rompak dan kerjasama ini boleh dilakukan bersama ejen penguat kuasa swasta yang sah,” katanya yang turut menyambut baik pindaan Akta Hak Cipta yang diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Menerusi pindaan akta hak cipta itu, kerajaan membela nasib penggiat seni untuk mendapatkan hak mereka yang sepatutnya. Ia bukan sahaja melindungi karya-karya mereka, tetapi juga melibatkan isu royalti dan gejala cetak rompak yang bagaikan tiada kesudahan hingga hari ini

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: