Monday, October 10, 2011

Kupas isu birokrasi dalam teater

Bagi sesiapa meminati seni teater tanah air tentunya akan menanti-nanti karya terbru daripada Fasyali Fadzly.

Walaupun namanya masih baru dalam industri teater, namun Fasyali pernah mengarahkan beberapa karya termasuklah Berani Mati (2009), Oedipus (2010) dan Kotak Hitam (2011).

Memilih untuk mengupas isu berkaitan senario dalam dunia seni teater, Fasyali terus mementaskan, Juta-juta di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 hingga 26 September lalu.

Menerusi skrip kemas, jalan cerita menarik dan persembahan terbaik, teater terbitan MASK Team ini, mendedahkan hal-hal rumit berlaku di sekitar penggiat teater kecil-kecilan seperti mereka.

Pengarah telah berkecimpung dalam industri teater sejak tahun 2003 ini, turut memuatkan unsur sindiran berdasarkan pengalamannya yang sering berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan dalam mengetengahkan karya kepada khalayak ramai.

“Ada antara beberapa isu dan masalah dalam Juta-juta realitinya berlaku terhadap penggiat teater. Ramai orang tidak tahu pelbagai birokrasi berlaku untuk mengetengahkan karya masing-masing.

“Tetapi, pada saya, sekiranya mempunyai aset kuat seperti skrip yang baik, pengarah berpengalaman, punya barisan pelakon dan kumpulan kerja yang baik, serta ruang untuk membuat persembahan, ia sudah memadai untuk terus bangkit.

“Walaupun Juta-juta memaparkan senario yang berlaku, pihak kami tidak tujukan pada mana-mana pihak kerana ia adalah berdasarkan pengalaman saya dan beberapa rakan seperjuangan lain,” kata Fasyali yang merupakan graduan pengarahan teater dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, atas dasar ingin membela nasib penggiat seni independent juga antara sebab mendorong Fasyali berani mementaskan Juta-juta sarat dengan mesej ini.

“Saya perlu beritahu orang bahawa, selain teater muzikal, penggiat teater berskala kecil juga masih wujud dalam industri ini dan golongan ini perlu diketengahkan.

“Malah, saya berani bereksperimen dengan watak yang ada, cari di mana kelebihan yang ada untuk dipertontonkan tetapi dalam masa sama masih menjaga kualiti karya itu sendiri,” katanya beberapa kali mengolah skrip Juta-juta sebelum memulakan sesi latihan.

Teater Juta-uta yang berkonsep cerita dalam cerita ini bukan sahaja dipersembahkan dalam gaya santai malah ia cukup menghiburkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: