Monday, October 10, 2011

Sherrie Aljunied ingin kembali


Walaupun pernah gagal sebelum ini Sherrie yakin percubaan kali keduanya akan membuahkan hasil.


SHARIFAH Nor Syed Mohd. Aljunied, anak seni yang berasal dari negara jiran Singapura, merupakan seorang penyanyi yang pernah mencipta nama di negara ini pada awal 80an.

Walaupun namanya tidak segah seperti penyanyi 1980an yang lain, namun ada nada kepuasan yang ingin diutarakan wanita ini.

Ini kerana album pertamanya, Cinta Di Waktu Hujan Turun pernah mendapat sambutan di Singapura suatu ketika dahulu.

Masih bertenaga untuk mengeluarkan single terbaru berjudul Seorang Wanita, Sherrie memberitahu lagu terbarunya itu merupakan singkatan kepada sejarah hidupnya.

“Saya pernah ditipu rakan sendiri semasa pembikinan album pertama tetapi saya tidak ingin menoleh ke belakang.

“Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan Singapura dan bekerja sebagai penyanyi di kelab malam di Taiwan,” katanya.

Menurut Sherrie, selepas kecewa dengan dunia hiburan, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan.

“Faham akan keadaan yang begitu mendesak, saya mula mencari peluang untuk berada di dalam dunia perniagaan.

“Alhamdulillah, kini saya telah mempunyai sebuah pusat latihan kesihatan yang terletak di Singapura,” katanya bangga.

Sherrie bukan sahaja terkenal sebagai seorang ahli perniagaan tetapi juga merupakan wanita yang banyak melalui pelbagai kisah ngeri sepanjang hidupnya.

“Saya terlibat dalam kemalangan ngeri pada tahun 2003 dan hampir tiga tahun menjauhkan diri daripada masyarakat.

“Selain itu, saya juga pernah muflis kerana terlalu percayakan rakan baik,” katanya sedih.

Reiki pengubat jiwa

Setelah kecewa dalam bidang hiburan selama beberapa tahun, Sherrie mula meminati reiki atau latihan kesihatan tradisional yang berasal dari Jepun sejak tahun 1998.

Menurut Sherrie, reiki banyak membantunya dalam mempromosikan tahap kesihatan yang baik dan ia sesuai dipraktikkan oleh wanita seusianya.

“Selama 13 tahun ini saya setia mempelajari reiki kerana latihan ini banyak memberikan ketenangan.

“Kini saya merupakan antara tenaga pengajar untuk latihan ini di pusat kesihatan milik saya,” katanya yang banyak menimba pengalaman menyanyi di negara luar.

Peluang kedua

Baru memulakan hidup baru bersama suami keduanya, Sherrie memberitahu sokongan yang diberikan ahli keluarganya menjadi pendorong utama buat dirinya.

“Tanpa sokongan mereka sudah tentu saya tidak akan berada di sini.

“Mempunyai seorang anak serta suami yang banyak membantu saya untuk terus menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: