Friday, October 7, 2011

Kuantan gamat kerana AIM18


SHILA Amzah turut menjayakan siri jelajah AIM18 di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


KEHANGATAN Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) mula terasa apabila barisan artis yang terlibat dalam siri jelajah AIM18 memulakan misi mereka di kompleks membeli belah Kuantan Parade, Pahang, Sabtu lalu.

Destinasi pertama bagi menguar-uarkan tentang majlis anugerah berprestij dalam industri hiburan tanah air itu gamat apabila penonton yang membanjiri Kuantan Parade teruja dengan persembahan Azlan & The Typewriter.

Kemunculan Azlan & The Typewriter sememangnya dinanti-nantikan peminat di Pantai Timur kerana mahu melihat aksi hebat kumpulan itu ketika melantunkan dua lagu, Mesin Waktu dan Jeritan Batinku.

Maka itu, walaupun persembahan artis hanya bermula pada pukul 2 petang namun orang ramai sudah mula membanjiri kompleks tersebut seawal pukul 10 pagi.

Keriuhan terus memenuhi ruang legar kompleks tersebut apabila Shila Amzah tampil menghiburkan hadirin.

Turut sama dalam merancakkan lagi promosi AIM18 yang hanya akan diadakan pada 12 November nanti ialah bekas vokalis Raihan, Nazrey, Mirwana, James Baum, Amirah Ali, Castury dan Reza Salleh.

Melihatkan sambutan hangat yang diberikan oleh warga Kuantan, Pengurus acara siri jelajah AIM18, Puteri Ayu Jasmin Abdul Hamid berkata, objektif siri jelajah AIM18 yang bertujuan mendekatkan golongan artis dengan peminat, telah tercapai.

"Inilah peluang bagi peminat untuk melihat artis-artis pujaan mereka secara dekat di samping berhibur dengan persembahan artis.

"Maka itulah, mereka tidak melepaskan peluang keemasan untuk bertemu dan bergambar dengan artis," katanya.

Ujarnya, komitmen yang ditunjukkan oleh barisan artis yang turun ke Kuantan baru-baru ini, amat membanggakan.

Beliau berharap, siri jelajah AIM18 ke destinasi seterusnya akan mendapat sokongan padu daripada barisan artis.

Siri jelajah AIM18 seterusnya akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada esok dan Ahad.

Ini diikuti dengan di Kluang Mall, Kluang, Johor Bahru, Johor (22 dan 23 Oktober) dan lokasi terakhir, AEON Jusco AU2, Lembah Klang pada 5 dan 6 November.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: