Friday, October 7, 2011

Tipah tertipu!


BERHATI-HATI apabila Tam dan Shera beraksi begini kerana mereka akan kata "Anda berada dalam rancangan Wakenabeb!"


DALAM berhati-hati terkena juga. Itulah yang berlaku kepada penulis ketika berada di lokasi penggambaran program Wakenabeb! musim ke empat di Pejabat Kumpulan Pengurusan Jenama, ntv7, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tujuan asal ke situ untuk membuat liputan program yang dihoskan oleh Awie Wings, Wahid Senario, Tam Suhaimi dan Shera Aiyob.

Bila sampai di sana, penerbit, Muhamad Nazrul Mohamad Sumeri dan Alif Kamaruddin yang juga jurukamera memberi penerangan kepada penulis dan dua rakan media, Yati dan Fatin.

"Tanyalah mereka apa sahaja, kita nak tengok sejauh mana mereka boleh bersabar dengan soalan 'ganas' daripada wartawan. Ini ada beberapa soalan yang disediakan, boleh guna nanti," terang Nazrul.

Katanya, Wakenabeb! yang dihos oleh empat bintang itu kembali setelah empat tahun tidak ke udara dan kali ini kandungannya lebih licik dan di luar jangkaan.

Antara muslihat yang digunakan adalah merompak, menculik, mat rempit, aktiviti dadah dan penipuan.

Program yang pernah tercalon sebagai Rancangan Hiburan Terbaik di dalam Anugerah Television Asia (ATA) itu akan disiarkan di ntv7, pada pukul 8.30 malam, mulai 27 Oktober ini.

Sehubungan itulah, Nazrul meminta kami menyoal Tam dan Shera dengan apa juga soalan tanpa batasan.

Selalunya, bila sesi interbiu dengan artis, soalan yang diajukan lebih tertumpu kepada perjalanan karier sebagai pembuka bicara sebelum melangkah ke soalan provokasi.

Hampir 15 minit sesi temu bual berlangsung, Tam dan Shera masih dapat menahan kemarahan walaupun ada di antara soalan yang berbaur kasar.

Namun kesabaran Tam hilang apabila Yati asyik membangkitkan kemarahannya dengan mengatakan kedua mereka tidak popular dan tidak patut menjadi pengacara Wakenabeb! kerana penonton lebih teruja untuk melihat usikan ke atas mangsa dan bukan pengacara.

"Rasanya awak tidak ada dalam program ini pun tak apa. Sebab penonton nak tengok apa usikan yang dikenakan ke atas mangsa. Lagipun awak berdua bukanlah popular sangat," terjah Yati.

Tam yang marah dengan soalan mengatakan dia tidak popular dan merasakan kami tidak ikhlas untuk menemubual mereka berdua terus bangun dan keluar dari bilik.

Dia yang masih tidak puas hati terus menghambur kemarahannya dan paling tragik, Tam hendak membaling kerusi ke arah kami yang duduk di hujung meja.

"Kalau awak semua tidak ikhlas hendak interbiu kami, saya pun tak ingin berada di di sini. Buang masa saja," hambur Tam.

Kali ini, bukan setakat Tam yang marah malah Shera yang dari tadi bersabar turut meluahkan kemarahannya.

"Tidak jadi pada akak tak apalah. Soalan akak itu sengaja menjatuhkan maruah kami tau," katanya tegas.

Kemarahan mereka ditenangkan oleh penerbit dan dalam sekelip mata sahaja Tam dan Shera berubah karakter. Serentak kedua-dua mereka melaungkan "Anda kini dalam rancangan Wakenabeb!"

Sebaik selesai rakaman, Tam dan Shera terus minta maaf kerana apa yang ditonjolkan (kemarahan) bukanlah karakter yang berlaku apabila mereka ditemu bual oleh pihak wartawan.

Kata Shera, dia agak sukar untuk melakonkan perangai panas baran kerana ia berbeza dengan lakonan.

"Kalau di set kita tahu itu watak yang dikehendaki pengarah. Tapi di Wakenabeb!, Shera berhadapan dengan bukan artis. Memang kadang-kadang tak sampai hati," akuinya.

Manakala Tam pula berkata, bukan mudah untuk mengacara program ini kerana ada di antara mangsa adalah rakan sendiri.

"Saya sendiri rasa bersalah, sewaktu Juliana Evans jadi mangsa usikan. Saya perlu muncul pada keadaan Juliana yang sedang trauma kerana hampir menjadi mangsa rogol, kemudian beritahu yang dia dalam program Wakenabeb!

"Waktu saya muncul, Juliana tenung saya tajam. Memang rasa bersalah tapi nak buat macam mana itu tugas saya sebagai pengacara program," katanya terus terang.

Selain Juliana, artis lain yang menjadi mangsa program Wakenabeb! adalah Awie Rafael, Sam Bunkface, Kilafairy, Along dan Angah.

Dalam pada itu, kata Nazrul, program ini berbeza dengan yang lain kerana usikan yang dilakukan ada jalan cerita dan masih ada batasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: