Friday, October 7, 2011

Akta Veteran 2011 tidak sekat kebebasan persatuan veteran tentera

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Akta Veteran 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu tidak akan menyekat kebebasan persatuan veteran tentera untuk bersuara.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, persatuan veteran tentera tidak perlu bimbang kerana kebebasan dan suara mereka di dalam persatuan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, tidak ada satu pun peruntukan di dalam akta ini yang akan menyekat dan mengongkong pergerakan ataupun suara persatuan berkenaan.

"Cuma apa yang digariskan persatuan perlu mendaftar semula persatuan mereka mengikut Fasal 17, akta ini.

"Persatuan veteran sedia ada akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama seperti dahulu," katanya pada sidang akhbar bagi mengulas kebimbangan sesetengah persatuan veteran tentera di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) berjanji akan mendapatkan sokongan 250,000 ahlinya untuk mendesak kerajaan mengkaji semula Akta Veteran 2011.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pada mesyuarat agung ke-86 bulan depan, seramai 167 perwakilan akan menentukan pendirian persatuan itu sama ada menolak atau menerima Fasal 17 yang menghendaki persatuan itu didaftarkan semula.

Zulkiflee berkata, kerajaan tidak mempunyai niat lain dalam menggubal akta berkenaan kecuali untuk membela nasib dan menghargai perjuangan serta pengorbanan veteran tentera.

Katanya, dengan adanya akta itu semua keistimewaan, kemudahan dan kepentingan veteran tentera akan lebih terpelihara di bawah peruntukan undang-undang.

Menurutnya, akta berkenaan juga tidak akan memberi kesan kepada penubuhan dan harta persatuan.

"Persatuan tidak akan terkubur, cuma penubuhan mereka akan terhenti dan perlu didaftar semula.

"Berkenaan dengan harta persatuan pula, itu hak mereka dan ia tidak akan terjejas tetapi jika persatuan mahu mengisytiharkan harta mereka apabila mendaftar semula, mereka boleh berbuat demikian," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom berharap pertemuan diadakan bagi mendengar suara bekas tentera terlebih dahulu sebelum membentangkan akta itu di Parlimen.

"Kami menyokong akta tersebut kerana ia dapat membela bekas-bekas tentera tetapi kita minta kementerian mengkaji semula Fasal 17 yang dilihat akan menyebabkan persatuan-persatuan bekas tentera terbatal secara automatik dan menyebabkan kami tidak dapat bersuara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: