![]() |
| |
SEBUT sahaja mengenai kota romantik, pasti ramai terfikir mengenai ibu negara Perancis iaitu Paris. Selain dikenali dengan nama tersebut ia turut dikenali sebagai City of Lights kerana keindahan panorama bercahaya yang boleh disaksikan dari atas Menara Eiffel.
Mungkin bagi yang tidak pernah mengunjunginya, sudah tentu tertanya-tanya mengapa Paris dikatakan sebagai sebuah bandar raya paling romantis di dunia dan apakah situasi paling romantik yang boleh dilakukan di sana?
Menyusuri jalan-jalan sempit dengan kiri dan kanannya dipenuhi deretan bangunan-bangunan lama yang dilatari reka bentuk asal sambil berpegangan tangan dengan insan tersayang sudah tentunya menjadi momen paling indah di kota Paris.
Jika anda berpeluang melancong ke sana dengan teman istimewa, kota tersebut pastinya meninggalkan pelbagai kenangan romantik seperti berkelah di bawah kaki Menara Eiffel lalu berjalan ke pelbagai lokasi menarik seperti bersantai di jambatan berhampiran Notre Dame atau duduk sahaja di kafe-kafe yang menyajikan juadah enak masakan Perancis dengan setiap kulinari yang berbeza-beza.
Malah pengunjung juga boleh menyusuri Champs Elysees untuk mencuci mata kerana kawasan ini dipenuhi dengan deretan butik jenama-jenama mewah yang menjadi idaman setiap penggemar fesyen.
Lokasi ini juga merupakan tempat paling menarik dan bahagian paling romantik serta terbaik di Paris.
Muzium The Louvre
MUzIUM The Louvre, antara yang paling terkenal dan terbesar di dunia kerana keluasan lokasinya itu seumpama ratusan muzium digabungkan menjadi satu.
Di dalamnya terdapat beribu-ribu bahan bersejarah dan bernilai ratusan juta euro dari kurun ke-13 sehingga ke- 17. Antara yang paling menjadi tumpuan, sudah tentunya lukisan Monalisa, karya agung Leonardo Da Vinci.
Menara Eiffel
MENARA Eiffel merupakan tarikan utama di Paris dan secara tidak langsung ia turut dijadikan sebagai simbol bandar raya dan mercu tanda paling terkenal di dunia.
Menara tersebut direka oleh Gustave Eiffel dan ia dibina pada 1889 sempena Pameran Universal yang diadakan pada tahun 1900.
Di bahagian atasnya pula, menyajikan pemandangan 360 darjah seluruh kota Paris yang memukau.
Notre Dame
KAWASAN Notre Dame de Paris amat terkenal dengan seni bina Gothik dengan tingkap-tingkap dan tiang-tiang menara yang dihiasi dengan pelbagai ukiran menarik. Walaupun struktur bangunan tersebut dibina lebih daripada 700 tahun lalu, ia masih kukuh sehingga ke hari ini dan menyimpan sejarah tersendiri.
Place Vendome
LOKASI Place Vendome lebih dikenali sebagai Jewelers Square yang cukup sinonim dengan kawasan beli-belah mewah yang terdapat di Paris.
Di sana, Place Vendome menawarkan pelbagai jenama mewah daripada Van Cleef & Arpels, Chaumet, Boucheron, Armani, Cartier, Chanel, Cardin, Givenchy, Versace, Hermes dan sebagainya.
Champs Elysees
CHAMPS Elysees merupakan jantung kepada Paris kerana destinasi tersebut dipenuhi dengan deretan pohon-pohon hijau yang dijaga rapi. Di kiri kanan jalan terletaknya deretan butik-butik jenama mewah serta restoran-restoran terkenal yang menjadi persinggahan pelancong. Jalan ini juga terkenal sebagai tempat sambutan perarakan penting seperti Bastille dan Le Tour de France.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: