Saturday, October 8, 2011

Almy Nadia sharp shooter


ALMY Nadia melakukan regangan sebelum memulakan permainan bola jaring.


TIDAK mengenali Almy Nadia Aminuddin Shah, 25, secara dekat namun guru sukan, Sharifah Sauza Al Barakbah, 34, dapat mengagak bahawa pelakon itu seorang pemain bola jaring.

Katanya, melihat pada pergerakan tubuh, cara melontar dan menjaringkan bola, dia tahu pelakon itu tidak berlakon atau hanya beraksi untuk sesi foto S3 yang diadakan di sebuah gelanggang di Setiawangsa.

Sharifah yang kebetulan sedang beriadah dengan tiga orang pelajarnya, Ajwad Arina Azmi, 17, Nurul Afiqah Razali, 17 dan Nor Syafiqah Roslan, 13, turut membantu S3 menjayakan sesi foto tersebut.

Biarpun pertama kali Almy bertemu dengan mereka, namun dia tidak kekok untuk berkongsi pengalamannya bermain bola jaring secara aktif selama lima tahun selepas tamat tingkatan lima.

Sebelum beraksi dengan tiga pelajar itu, Almy terlebih dahulu melakukan regangan untuk memanaskan badan.

Menurut Almy, sewaktu sekolah rendah, dia aktif bermain hoki dan di sekolah menengah pula, dia lebih kepada acara balapan.

“Semuanya bermula daripada mak yang paksa Almy main bola jaring. Mak Almy seorang jurulatih bola jaring bertauliah. Dia ada pasukannya sendiri.

“Dia kata apa guna ada anak tinggi kalau tidak boleh bermain bola jaring. Pada mulanya memanglah Almy tidak suka tapi lama kelamaan jadi minat pula. Almy main posisi GS atau penjaring utama,” ceritanya.

Kata Almy, pasukan bola jaring pimpinan ibunya, Roshiba Hashim, 45, yang disertai belia dari kawasan Teluk Kumbar dan Balik Pulau itu sering menyertai pertandingan antara belia di daerah Pulau Pinang.

Malah katanya, pasukan mereka juga pernah menyertai World Cup Milo yang diadakan di Universiti Sains Malaysia.

“Waktu aktif bermain bola jaring, memanglah Almy ada impian nak bermain dengan pasukan kebangsaan. Sekarang ini, impian itu sudah berkubur, maklumlah sejak bergelar artis, Almy tidak ada masa nak main bola jaring lagi,” katanya.

Justeru itulah kata Almy, kalau ada drama yang memerlukan dia beraksi di gelanggang bola jaring, dia akan gunakan kesempatan itu untuk melepaskan rindu pada sukan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: