Saturday, October 8, 2011

Dilamar melalui surat


PERKAHWINAN yang dibina selama 36 tahun dikurniakan lima orang cahaya mata.


CITA-CITA asal Azizah Liza Che Long atau Chef Liza ingin menjadi pramugari. Impian itu hampir terlaksana apabila beliau diterima menjadi pramugari dengan syarikat Penerbangan Malaysia. Namun cita-cita tersebut perlu diketepikan kerana lelaki yang menaruh hati terhadapnya (kini menjadi suaminya) tidak bersetuju.

''Abang kata kalau saya menjadi pramugari, kita putus,'' kata Chef Liza mengenang semula peristiwa lebih 30 tahun dahulu.

Beliau yang ditemui di Laman Chef Liza berhadapan Sekolah Kebangsaan Seri Delima, Kampung Batu, Kuala Lumpur menambah, beliau akur dengan kata-kata tersebut dan memilih kerjaya sebagai guru iaitu kerjaya yang sama dengan pekerjaan suaminya

Chef Liza yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, mendirikan rumah tangga dengan Zainol Ariffin pada tahun 1975. Kini telah 36 tahun usia perkahwinan mereka dan kedua-duanya disifatkan sebagai pasangan yang bahagia.

''Saya mengenali abang semasa menuntut di tingkatan tiga. Masa itu, abang sudah pun menjadi guru. Setiap kali lalu di depan rumah, abang akan melambai kepada saya, tapi ketika itu saya tidak ada apa-apa perasaan terhadapnya.

''Selepas tamat sekolah, saya diterima menjadi guru. Abang menghantar surat melamar saya dan kami berkahwin,'' ujarnya.

Dikurniakan lima orang cahaya mata, Azrin Zaira, 35 tahun, Azrin Zuliana dan kembarnya Azrin Zuliani, 31 tahun, Azrin Aznita dan Muhammad Azrul Afifi, 20 tahun, Chef Liza dan suaminya cukup bersyukur dan gembira kerana pada usia sekarang, mereka masih dikelilingi anak-anak dan seorang cucu, Muhammad Azraf Redza, dua tahun setengah.

''Saya tidak dapat membayangkan jika tiada anak-anak bersama saya,'' katanya sebak sambil mengesat air mata yang mula bergenang di hujung kelopak mata.

Chef Liza, 54, bersara awal daripada tugasnya sebagai guru di Kedah kerana ingin berhijrah pada kehidupan yang lebih baik. Ketika itu, usianya baru 45 tahun dan mereka sekeluarga kemudian berpindah ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun beliau sukakan bidang perguruan, namun beliau terpaksa meletakkan jawatan kerana ingin memajukan diri dan menumpukan kepada bidang masakan yang diminati.

Namun suaminya masih terus menjadi guru dan bersara pada usia wajib kira-kira tujuh tahun lalu.

Berkat usaha gigihnya, Chef Liza kini memiliki Akademi Memasak Chef Liza yang diusahakan bersama anak-anak, Laman Chef Liza pula untuk mengajar memasak kepada yang berminat, manakala Studio Chef Liza menerbitkan rancangan-rancangan masakan.

Berkongsi cerita mengenai kebahagiaan dan rahsia rumah tangga mereka berkekalan hingga ke hari ini, Chef Liza berkata, mungkin kerana sikap suaminya yang sentiasa cool, tidak pernah naik angin dan sabar.

Kerana sikap cool tersebut, suaminya menganggap semua peristiwa sama sahaja dan tiada yang istimewa.

''Abang bukan seorang yang romantik baik sebelum berkahwin sehinggalah ke hari ini. Dia tidak pernah memberikan bunga pada hari jadi saya atau ulang tahun perkahwinan.

"Memang ada hadiah yang dia beri tetapi tidak menepati kehendak saya dan lama-lama dia kata saya sajalah yang beli. Tetapi dia banyak membelikan buku resipi untuk saya.

''Kalau saya merajuk atau naik angin pun, dia tidak akan pujuk sehingga kemarahan saya reda sendiri. Sungguhpun demikian, saya tetap sayangkan dia kerana dia tidak pernah marah.

''Saya rasa rumah tangga saya bahagia kerana sifat sabar suami, kami anak beranak sentiasa bersama dan kami tidak pernah bergaduh besar. Saya juga rasa hanya maut yang akan memisahkan kami berdua,'' kata Chef Liza lagi.

Bertanya kepada suaminya apa yang membuatkan beliau tertarik kepada Chef Liza, katanya mungkin kerana sudah berkawan lama dan menjadi semakin rapat ditambah pula dengan jodoh yang telah ditentukan Tuhan.

Tambah Chef Liza lagi, suaminya begitu memahami minatnya dan tidak pernah menghalang beliau mengejar cita-cita dan mempelajari teknik memasak hingga ke luar negara. Pun demikian, beliau tidak pernah mengambil kesempatan di atas kepercayaan suaminya.

Chef Liza pernah mengikuti kursus membuat dan menghias kek, menghias pastri, royal ising dan membuat coklat hingga ke United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Jakarta.

Daripada usahawan memasak dan membuat kek, beliau kini aktif menerbitkan rancangan memasak di televisyen. Di antara rancangan memasak yang pernah diterbitkan ialah Kulinari Daisy bersama Chef Liza, Selera Ramadan, Enak bersama Ramly dan Selera Ramadan bersama MM Vita Oil.

Rancangan terbarunya ialah Akademi Seni Kulinari yang mengandungi 13 episod yang akan menemui penonton pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: