PEMBAHARUAN yang dilakukan dengan menggabungkan hiburan dan ilmiah seperti mana yang dapat ditonton menerusi rancangan Clever! ternyata telah menarik perhatian ramai.
Bukan hanya kepada pelajar sekolah tetapi Clever! Edisi Malaysia itu juga berjaya membuatkan ibu bapa turut sama bersama anak-anak mereka untuk menontonnya di kaca televisyen.
Percaturan berani yang diambil oleh Astro dan pihak Red Communications selaku penerbit bersama rancangan yang diadaptasi daripada rancangan serupa dari Australia itu dilihat berjaya mencapai matlamatnya.
Ketua Pendidikan Astro, Ravi Gopal berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan pencapaian Clever! musim pertama yang mencatatkan rating serta sambutan luar biasa daripada masyarakat.
Atas alasan itu jugalah, Astro tidak teragak-agak untuk menerbitkan musim kedua dengan gaya persembahan yang lebih menarik dan mencabar.
"Tetapi, apa yang membanggakan kami apabila Clever! tidak hanya menarik perhatian masyarakat bandar tetapi juga pelajar sekolah di luar bandar.
"Untuk musim kedua ini, kami memberi peluang kepada pelajar sekolah luar Lembah Kelang seperti Bangi, Serdang dan Kelang untuk sama-sama melibatkan diri dalam program ini.
"Jika Clever! musim kedua ini terus mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan, tidak mustahil untuk kami menjelajah ke seluruh negara terutama kawasan luar bandar bagi memastikan Clever! terus mendapat tempat," katanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Delicious, Marc Residence, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir dua pengacara rancangan itu, Aznil Nawawi dan Rafidah Abdullah yang terus diberi kepercayaan mengemudikan Clever! musim kedua yang ditayangkan di saluran Astro TVIQ (saluran 610, Astro).
Menyambung bicara, Ravi menjelaskan kejayaan Clever! terletak kepada pengisiannya yang menggabungkan sains dengan hiburan apabila ia turut melibatkan artis-artis popular tempatan yang bergandingan dengan pelajar sekolah.
Bagi memastikan Clever! musim kali ini akan meninggalkan impak seperti mana musim pertamanya, ia akan diwarnai dengan kehadiran artis popular selain eksperimen sains yang lebih mencabar.
"Musim ini, Clever! akan membawakan pengalaman yang lebih meluas dan menyeronokkan bagi menarik perhatian pelajar selain dapat merangsang minda mereka untuk mencetuskan logik akal dan kreativiti.
"Bukan itu sahaja, kami juga mahukan pelajar sekolah dan ibu bapa menikmati pengalaman sains terkini dengan menyasarkan penghasilan format interaktif menarik secara 360 darjah.
"Ini merangkumi televisyen, penglibatan pelajar secara dalam talian serta mengunjungi beberapa sekolah terpilih bagi memberi peluang kepada semua pihak merasai pengalaman rancangan tersebut," kata Ravi penuh optimis.
Antara artis yang akan mengambil bahagian dalam musim kedua ini termasuklah Zizan, Johan, Jaclyn Victor, Rina Omar, Joe Flizzow, Nabil Ahmad, Didie Alias, Sharifah Aleya, Chelsia Ng, Tony Eusoff dan ramai lagi.
Di kala pelajar sekolah hari ini yang dikatakan kurang minat untuk mempelajari subjek berat terutama sains secara teori di dalam kelas, Clever! hadir tepat pada waktunya dengan pendekatan yang berbeza.
Ini diakui oleh Aznil yang menyifatkan penglibatannya sebagai pengacara Clever! telah memberikan pengalaman baru untuknya.
Kata Aznil, jika dulu subjek seperti sains dianggap sebagai sesuatu yang membebankan dan membosankan tetapi menerusi Clever!, ia telah mengubah persepsi itu apabila ia menjadi sebuah pembelajaran yang menghiburkan.
"Mengendalikan Clever! bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya kerana ia semuanya berteraskan fakta dan tepat jika dibandingkan dengan program hiburan yang lebih spontan.
"Dalam masa yang sama juga, saya tidak mempunyai masalah dengan Rafidah dan kami memang boleh bekerjasama dengan baik sekali. Dia juga banyak membantu dengan karakternya sebagai saintis," kata Aznil yang merupakan pengacara nombor satu negara itu lagi.
Begitu juga dengan Rafidah yang telah berhadapan situasi mencemaskan sehingga salah satu eksperimen yang diusahakannya tidak menjadi sehingga hampir menyebabkan kebakaran.
Tetapi, katanya, mujurlah semuanya dapat diselamatkan dan tiada sebarang komplikasi yang berlaku ketika penggambaran berlangsung di Filem Negara, Petaling Jaya, Selangor.
Clever! musim kedua akan memulakan siarannya secara rasmi setiap hari Sabtu bermula 22 Oktober ini pukul 1.30 petang di Astro TVIQ (saluran 610, Astro).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: