|
|
KAIN tenun dan songket merupakan antara fabrik mewah yang semakin digemari di kalangan peminat fesyen tanah air pada hari ini.
Kehadirannya mudah diterima ramai apatah lagi untuk pembangunan industri tekstil di negara ini.
Lebih menarik, kain tenun dan songket kini telah diberi sentuhan inovasi sehingga ia sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat.
Tambah anggun apabila disesuaikan dengan baju kurung atau kebaya panjang yang dilengkapi dengan selendang atau kain kelubung.
Selain itu, songket turut dipakai sebagai samping, tengkolok atau bengkung untuk golongan lelaki.
Lantaran itu, ia adalah warisan turun-temurun yang perlu dijaga dan dipelihara supaya tidak luput ditelan arus pemodenan.
Bagi memastikan warisan itu terus hidup, Persatuan Isteri-isteri, Anak dan Anggota Wanita Penjara (Persiap) dan Jabatan Penjara mengambil inisiatif mengadakan majlis Malam Gala Persiap di Royal Ballroom Palace of Golden Horses, Sri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Majlis dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yayasan Tuanku Nur Zahirah dan Terengganu International Design of Excellent (TIDE) itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Tabung Kebajikan Persiap.
Menurut Ketua Program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, UiTM Shah Alam, Anas Musavir, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan koleksi daripada kain tenun dan songket.
Tambahnya, kesemua fabrik telah dibekalkan oleh Jabatan Penjara dan mereka perlu merealisasikannya menjadi busana lengkap.
"Seramai lapan orang kakitangan Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, terlibat untuk mereka bentuk serta menjahit baju dari kain tenun dan songket ini.
"Kami mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan kesemua 32 koleksi berasaskan kedua-dua fabrik.
"Apa yang menarik ialah fabrik-fabrik diperagakan merupakan rekaan Jabatan Penjara, kami hanya menjadikannya busana indah untuk diperagakan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya lagi, melalui platform pertunjukkan fesyen, pihak Jabatan Penjara berpeluang mempromosikan produk tekstilnya yang bermutu tinggi seperti kain tenun dan songket Pahang hasil kreativiti para penghuni penjara.
Ia juga dapat memartabatkan seni budaya bangsa berteraskan fabrik kain tenun dan songket Pahang kepada masyarakat umum di samping mendidik masyarakat, generasi muda serta penghuni penjara mengenai kemahiran dan ketinggian nilai seni fabrik tersebut.
Mengulas lanjut mengenai rekaan yang dihasilkan, jelas Anas, untuk menjadikan pakaian daripada kain tenun dan songket, pihaknya perlu mengambil kira aspek corak dan hasil kain terlebih dahulu.
Ini kerana, dua-dua fabrik tersebut tidak boleh dipotong sebarangan kerana dikhuatiri akan merosakkan nilai-nilai seni dalam fabrik terbabit.
Dalam masa sama, kedua-dua fabrik itu juga tidak sesuai dijadikan pakaian sepenuhnya sebaliknya yang bersifat formal sahaja.
Kebanyakan fabrik yang ditonjolkan menyaksikan warnanya lebih lembut dan pakaian yang diperagakan juga dapat dilihat tidak sedondon.
Baik kain tenun mahupun songket, warna yang dihasilkan sememangnya merupakan warna-warna lembut dan terang.
Menurut Anas, kedua-dua fabrik tersebut tidak sesuai untuk digayakan sedondon.
Apa yang pasti, pada malam itu, kebanyakan corak kain tenun dan songket masih mengekalkan ciri tradisional tetapi Jabatan Penjara 'bermain' dengan warna untuk menarik minat penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: