Saturday, October 1, 2011

Rom bandar abadi


ROM merupakan ibu kota kepada Itali dan ia kaya dengan sejarah empayar Rom kuno dan kini ia dijadikan sebagai pusat Gereja Roman Katolik (Vatican City).


PARA pelancong dari seluruh dunia sebulat suara mengatakan Itali merupakan sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi.

Negara tersebut amat kaya dengan sejarah yang telah bermula sejak ribuan tahun lamanya, selain struktur-struktur bangunan lama yang masih utuh menjadi tarikan utama pengunjung untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Jika anda bercadang untuk melawat negara paling terkenal di selatan Eropah itu, Itali yang turut disenaraikan dalam Warisan Dunia UNESCO, juga terkenal dengan hidangan yang enak, fesyen, kereta dan motosikal mewah serta kawasan pantai, tasik dan gunung-ganang (Alps dan Appennines) yang pastinya memuaskan untuk dikunjungi.

Itali terletak berhampiran dengan Perancis, Switzerland, Austria dan Slovenia. Ia turut dikelilingi oleh Laut Ligurian, Sardinian dan Tyrrhenian di bahagian barat manakala Sicily dan Laut Ionian pula di bahagian Selatan dan Laut Adriatic di sebelah timur.

Bahasa Itali merupakan bahasa utama yang digunakan tetapi pengembara boleh mendengar beberapa dialek-dialek berbeza yang turut digunakan di sana.

Pengunjung yang melawatnya boleh meluangkan masa dengan mengunjungi dua pulau utama iaitu Sardinia yang merupakan sebuah pulau dari pantai barat Itali dan Sicily yang berada di hujung bahagian selatan.

Bagaimanapun, lokasi bandar utama Itali iaitu Kota Rom sering menjadi pilihan pengunjung kerana keindahan kota purba itu pastinya memberikan pengalaman yang hebat dan berbaloi dikunjungi.

Di bahagian utara Itali pula merupakan tempat paling maju dan penduduknya amat padat seperti yang terdapat di bandar Turin, Milan, Bologna, Verona dan Venice.

Antara kawasan menarik untuk dikunjungi ialah seperti Lake Como, kawasan pergunungan Dolomites serta Italian Alps dan Cortina d'Ampezzo.

Bahagian Itali tengah pula merupakan kawasan yang amat kaya dengan sejarah kemegahan empayar Rom.

Pelbagai mercu tanda boleh dilihat kerana ia masih dikekalkan dengan baik seperti Colosseum, Florence, Renaisans, Tuscany manakala bandar-bandar berdekatan seperti Siena, Pisa dan Lucca pula menawarkan pengalaman melihat dan mengenali warisan kebudayaan negara tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: