JOHOR BAHRU - Sekumpulan ibu bapa di Kota Masai, Pasir Gudang di sini menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan sebuah sekolah agama di kawasan terbabit yang didakwa mengenakan bayaran tambahan tidak munasabah untuk setiap pelajar.
Menurut mereka, sekolah terbabit mengenakan bayaran RM10 setiap bulan untuk setiap pelajar sejak sepuluh tahun lalu.
Seorang bapa, Zainorin Sajat, 39, berkata, mereka inginkan penjelasan terperinci ke mana wang tersebut disalurkan memandangkan bayaran tersebut agak membebankan kerana perlu dibayar setiap bulan.
Katanya, setiap kali mengajukan soalan kepada pihak pengurusan sekolah, mereka diberi alasan yang tidak jelas dan jika ada ibu bapa yang tidak menjelaskan bayaran terbabit, kad laporan prestasi anak-anak mereka akan disekat oleh pihak sekolah.
"Pada mulanya, mereka kata wang tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah kedai yang dijadikan kelas serta pelbagai kos lain tetapi selepas bangunan sekolah siap awal tahun ini, kami masih dikenakan bayaran sama.
"Jika benar wang tersebut digunakan untuk membayar sewa, tunjukkan kami semua butiran pembayaran," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang semalam.
Sementara itu, seorang lagi bapa, Azarudin Johar, 41, mendakwa, meskipun RM10 dilihat agak kecil, namun dia agak terbeban kerana tiga anaknya belajar di sekolah terbabit.
"Bayangkan, jika RM30 setiap bulan terpaksa saya bayar untuk tiga anak yang bersekolah di sana, berapa pula yang terpaksa saya bayar setiap tahun.
"Ini tidak kira dengan bayaran yuran tahunan yang wajib dibayar setiap kali pendaftaran. Tahun hadapan, saya akan lebih terbeban kerana seorang lagi anak saya akan mula bersekolah di situ," katanya.
Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membuat surat yang ditandatangani ibu bapa untuk meminta agar wang tambahan tersebut dimansuhkan.
"Surat tersebut akan saya bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: