KOTA BHARU – Seramai 25 peniaga Pasar Siti Khadijah di sini mendakwa ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dengan menawarkan pembiayaan pinjaman perniagaan baru-baru ini.
Pengerusi Koperasi Pasar Siti Khadijah, Mohamad Ibrahim (gambar) berkata, dua bulan lalu, seorang lelaki datang ke pasar berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa dan menawarkan pinjaman pembiayaan kepada peniaga pasar.
“Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menunjukkan borang pembiayaan dan memberitahu peniaga pasar yang berminat membuat pinjaman sehingga RM500,000 boleh membuat permohonan melaluinya.
“Dia turut menyatakan masa untuk membuat permohonan sangat terhad dan meminta peniaga segera membayar RM50 sebagai bayaran ahli,” dakwanya di sini semalam.
Tambahnya, lelaki tersebut turut berjanji sekiranya peniaga sudah menjadi ahli dan memberi nombor akaun bank serta membayar RM50, PUNB akan memasukkan wang RM500 sebagai hadiah pendaftaran.
Tertarik dengan tawaran dan janji manis lelaki terbabit, 25 peniaga yang berhasrat mengembangkan perniagaan terus memberi RM50 setiap orang dan segera membuat salinan kad pengenalan untuk mendaftar.
“Selepas dua minggu tiada berita daripada PUNB, ahli jawatankuasa koperasi membuat laporan kepada PUNB dan pihak perbadanan yang datang ke Kelantan menyiasat dan kemudian mengesahkan kami ditipu.
“Kami harap, peniaga di tempat lain berhati-hati jika lelaki ini datang membuat tawaran serupa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: