Tuesday, October 4, 2011

Gertak sempit, pagar patah

JAMBATAN daif di Kampung Putat Tujuh berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.
JAMBATAN daif di Kampung Putat Tujuh berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.
Kedaifan titi di Kampung Putat Tujuh undang nahas

RANTAU PANJANG: Jambatan besi dikenali Gertak Tok Samad di Kampung Putat Tujuh yang menjadi penghubung penduduk kampung ke bandar Pasir Mas melalui Kampung Tasek Bakong, menimbulkan kebimbangan pengguna kerana sebahagian pagarnya patah dan boleh menyebabkan kenderaan melaluinya terjatuh dalam Sungai Tasek Garu.
Lantai jambatan itu licin dan akan tenggelam apabila hujan lebat sehingga menyebabkan pengguna tidak dapat melaluinya.
Tinjauan Berita Harian mendapati pagar asal jambatan itu patah dilanda arus deras ketika air sungai melimpah beberapa tahun lalu pada musim tengkujuh dan tidak diselenggara sehingga kini.

Gertak Tok Samad itu kelihatan uzur kerana dibina sejak lebih 20 tahun lalu, malah struktur jalannya yang sama rata dengan tebing sungai mempercepatkan lagi berlaku banjir serta merosakkan jalan, sekali gus menjadikan laluan di situ dipenuhi lubang besar yang boleh membahayakan pengguna.

Selain Gertak Tok Samad, penduduk di sini masih lagi menggunakan jambatan dikenali Gertak Tasek Buloh Betong yang menghubungkan kampung berkenaan dengan kawasan sekitar dan laluan utama ke pekan Rantau Panjang.

Bagaimanapun, kedua-dua jambatan itu sering dinaiki air, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif yang jaraknya menjangkau dua kali ganda daripada jarak sebenar bagi ke sesuatu destinasi dituju.
Penduduk, Che Daud Pa, 50-an berkata, walaupun kedua-dua jambatan itu laluan penting, mereka perlu mengawasi kenderaan supaya tidak terbabas ke sungai, terutama ketika bertembung dengan kenderaan lain berikutan jambatannya sempit dan tidak berpagar.

“Pagar jambatan yang patah itu membahayakan pengguna, manakala jalan rendah dan berlubang menghubungkan jambatan itu juga sering ditenggelami air.

“Kita minta jalan berhampiran kedua-dua jambatan itu ditinggikan tiga kaki daripada tebing sungai bagi mengatasi masalah kekerapan berlaku banjir di luar musim,” katanya.

Beliau berkata, jambatan berkenaan sewajarnya dinaik taraf supaya ia lebih kukuh dan selamat kerana jambatan lama kian uzur dan boleh mengundang padah kepada pengguna.

Penduduk, Hassan Awang, 60-an pula berkata, jalan berhampiran kedua-dua jambatan yang terletak di kampung itu perlu ditambak lebih tinggi daripada paras sedia ada bagi mengurangkan kekerapan dinaiki air.

“Jika jalan itu ditambak, penduduk tidak lagi berdepan masalah banjir setiap masa. Jika banjir pada musim tengkujuh, kita dapat menerimanya kerana kebanyakan tempat dinaiki air, tetapi masalah di sini turut berlaku ketika luar musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, Ismail Daud, 62, meminta pihak berkaitan menyediakan lampu jalan berhampiran kedua-dua jambatan berkenaan kerana laluan itu gelap dan dikelilingi semak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: