NAJIB ketika mengemukakan Rang Undang-Undang Kerajaan untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen di Dewan Rakyat, semalam.
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, Jumaat ini, akan mengimbangi kepentingan negara dan keperluan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan yakin semua inisiatif yang akan diumumkan pada Jumaat ini akan dapat menangani kesulitan golongan pendapatan rendah dalam cabaran persekitaran ekonomi yang sangat hebat,” katanya menjawab kebimbangan beberapa Ahli Parlimen mengenai strategi Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Dewan Rakyat yang bermula semalam.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan ekonomi negara terus kukuh dengan melaksanakan langkah mengurangkan beban rakyat dan merancakkan penggunaan domestik.
Terdahulu, Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil bagi memperkukuh Malaysia terhadap kemerosotan ekonomi dunia.
Najib yakin prestasi ekonomi negara akan terus berkembang, walaupun berhadapan ketidaktentuan persekitaran negara luar, termasuk kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat, krisis hutang kerajaan di Eropah dan inflasi akibat peningkatan harga komoditi.
“Namun kesan ini dijangka memberi impak minimum memandangkan kekuatan daya tahan dan asas ekonomi yang mapan dan perancangan kerajaan dalam memastikan ekonomi kekal kukuh.
“Dalam tempoh separuh pertama 2011, dengan persekitaran yang mencabar, termasuk gangguan bekalan akibat gempa bumi di Jepun, ekonomi negara mencatat pertumbuhan 4.4 peratus dan dijangka lebih baik pada separuh kedua,” katanya.
Najib berkata, perbelanjaan penggunaan dijangka mencatat pertumbuhan kukuh berikutan peningkatan pendapatan hasil harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil.
Katanya, pelaburan swasta juga dijangka terus cergas dirangsang peluang perniagaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP), inisiatif kerajaan menarik pelaburan, liberalisasi ekonomi, penswastaan syarikat milik kerajaan, pengkorporatan MIDA dan penambahbaikan berterusan sistem penyam-paian kerajaan.
“Prestasi ekonomi rantau Asia juga dijangka terus positif dan berkembang pesat seperti China, India dan Indonesia serta mengimbangi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: