PELABUHAN KLANG: Dewan serbaguna di Bandar Armada Putra, Pulau Indah dekat sini, yang pernah digunakan sebuah pusat pengajian tinggi swasta beberapa tahun lalu kini terbiar sepi sehingga digelar 'Dewan Berhantu'.
Bagaimanapun, di sebalik kecacatan itu, beberapa anggota penguat kuasa maritim yang berpusat tidak jauh dari situ memanfaatkannya sebagai gelanggang futsal sejak setahun lalu.
Tinjauan Sentral semalam, mendapati beberapa peralatan diperbuat daripada besi seperti jeriji dan kepala pili serta sistem pendawaian dan bahagian dalaman berdekatan bumbung hilang, manakala di beberapa bahagian dindingnya diconteng.
Ketika tinjauan dibuat, beberapa anggota maritim dilihat bermain futsal dengan menggunakan gawang gol yang dibuat sendiri.
Seorang anggota maritim yang ditemui, Kamarudin Mastar, berkata beliau dan rakannya bermain bola di dewan itu kerana ia masih boleh dimanfaatkan.
"Kami menjadikan bahagian dalam dewan ini sebagai tempat bermain futsal bagi mengelakkan ia terus terbiar. Walaupun tiada kemudahan asas, kami berusaha memanfaatkannya.
"Ada antara kami yang ada masa terluang menggunakan mesin untuk memotong lalang di padang kerana sayang kemudahan itu terbiar sekian lama tanpa penyelenggaraan," katanya.
Seorang peniaga berdekatan yang enggan dikenali juga meluahkan kekecewaan kerana dewan itu tidak dijaga sehingga ia menjadi mangsa vandalisme.
"Saya berharap dewan itu dapat segera diperbaiki kerana ia boleh dimanfaatkan penduduk di sini, terutama padang bola dan padang bola keranjang yang kini ditumbuhi lalang separas pinggang orang dewasa.
"Syukur juga ada beberapa anggota penguat kuasa kadang-kala membersihkan padang untuk bermain bola," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: