Saturday, October 1, 2011

Fah Shiun ‘sifu’ chef muda


Tong Fah Shiun (kanan) tidak jemu-jemu memberi tunjuk ajar kepada chef muda seperti Syed Nor Aidid.


BERBEZA agama dan bangsa bukan halangan bagi Ketua Chef di Restoran My Chef, Tong Fah Shiun dan Sous Chef, Syed Nor Aidid membina hubungan rapat di antara satu sama lain.

Malah kedua-duanya turut berkongsi hobi dan kerjaya yang sama iaitu memasak.

Tong Fah Shiun berkata, sebagai seorang chef yang berpengalaman sudah tentu dia memerlukan seorang pembantu yang boleh dipercayai.

“Ketika bekerja saya tidak pernah anggap yang pembantu saya sebagai seorang pembantu kerana bagi saya lebih mudah untuk kita bekerjasama jika kita anggap dia seumpama saudara kita.

“Apabila kita rapat sudah tentu ia akan melancarkan lagi kerja-kerja seharian lebih-lebih lagi jika bekerja dalam bidang masakan seperti saya,” katanya ketika ditemui di restoran My Chef, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi ilmu masakan

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan, Fah Shiun sentiasa terkenang pengalaman lalu ketika beliau bersama ‘sifu’ (guru) masakannya.

“Hubungan antara ‘sifu’ dan ‘perantis’ ini umpama roda dan ia sentiasa berubah-ubah. Kalau dulu orang banyak mengajar saya kini sudah tiba masanya untuk saya mengajar orang lain pula agar ilmu yang ada pada saya semakin berkembang dan boleh disampaikan kepada generasi baru.

“Selain itu sebagai chef juga kami perlu menjaga hubungan di antara satu sama lain kerana ia pastinya memudahkan kita bekerja dalam satu kumpulan,” jelasnya.

Sebagai chef paling berpengalaman di restoran itu, Fah Shiun umpama ‘sifu’ bertanggungjawab mengajar chef-chef muda cara memasak dengan betul.

“Saya mula bekerja dalam bidang ini sejak berusia 15 tahun lagi iaitu selepas tamat tingkatan tiga.

“Pada masa itu, keluarga saya susah dan saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja di restoran. Kini siapa sangka saya boleh jadi salah seorang ketua chef yang terdapat di Malaysia.

“Sebab itu saya faham apa yang dirasai orang lain dan bila ada tenaga baru masuk ke dapur saya pasti akan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

“Kalau mereka hendak menambah sesuatu dalam resipi masakan saya tidak pernah menghalang tetapi dia perlulah tahu apa yang dia masak agar rasa keaslian masakan tersebut dapat dikekalkan,” ujarnya.

Sementara itu sebagai salah seorang ‘anak didik’ Fah Shiun, Syed Nor Aidid mengakui ‘sifu’nya itu sentiasa membantunya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke bahagian dapur.

“Pada hari pertama saya bekerja dalam bidang masakan, saya hanya tahu cara-cara masakan yang mudah tetapi dengan tunjuk ajar Chef Fah Shiun kini saya mahir dalam pelbagai bidang masakan termasuk masakan Thai,” katanya.

Sebagai seorang chef yang baru, beliau perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh agar dapat meningkatkan lagi kemahiran yang dimiliki.

“Saya bersyukur mempunyai seorang ketua yang memahami perasaan anak buahnya dan melalui tunjuk ajarnya banyak yang telah saya pelajari.

“Saya bukan sahaja belajar cara-cara bekerja malah saya turut mempelajari cara-cara untuk menghormati seorang ketua dan rakan setugas dengan lebih baik.

“Selain itu, hubungan kami dengan pekerja lain juga semakin bertambah baik kerana banyak yang boleh dipelajari di antara satu sama lain selain berkongsi masalah yang dihadapi,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: