Saturday, October 1, 2011

Salikin cari jodoh sekampung


Bersama-sama dua daripada tiga cahaya mata, Ajwa Saleha (kiri) dan Asila Sofia.


BANYAK bersabar merupakan kunci kepada kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga pereka fesyen tradisional tersohor tanah air Salikin Sidek.

Berkat kesabaran juga, rumahtangga yang dibina bersama-sama isteri tersayang, Anita Anuar, 37, kini telah memasuki tahun ke 10.

Salikin yang ditemui di kediamannya di Setiawangsa berkata, sebagai seorang ketua keluarga, si suami perlu banyak bersabar dan bersikap matang. Perkara-perkara remeh jangan disimpan di dalam hati dan jika berkecil hati pun lupakan sahaja.

Ini kerana akibat perkara yang remeh dan tidak penting, seseorang itu memendam rasa dan lama-kelamaan meledak dan timbullah ungkit mengungkit.

Salikin yang berasal dari Kluang, Johor bertemu jodoh dengan Anita yang berasal dari Sri Medan, Batu Pahat setelah dua kali gagal bercinta.

Pertemuan di kilang batik milik seorang rakannya menemukan Salikin dengan Anita yang boleh dikatakan sebagai cinta pandang pertama. Mereka kemudian mengikat tali pertunangan selama dua tahun sebelum diijabkabulkan pada 11 Februari 2002.

''Saya memang mencari bakal isteri yang sekampung kerana ibu saya sudah tua dan mudah bagi kami untuk selalu menjenguk ibu dan kakak-kakak saya. Anita pula kebetulan sekampung dengan datuk saudara saya yang merupakan seorang pengusaha lombong besi dan amat dikenali di kampung sebagai Haji Denan Sri Medan.

''Perkahwinan saya dan Anita merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan saudara-mara sebelah datuk saudara saya,'' ujar Salikin yang merupakan pereka Malaysia pertama yang membawa fesyen etnik Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurut penulis buku Busana Fesyen Tradisional dan Busana Pengantin ini, apa yang membuatkan beliau jatuh hati dengan Anita ialah sikap wanita itu yang jujur, lemah-lembut dan memiliki sifat kesabaran yang tinggi.

Perkahwinan mereka diadakan secara besar-besaran di kampung Salikin dan Anita dengan dibantu oleh penduduk kampung secara bergotong-royong. Sememangnya perkahwinan Salikin amat dinantikan oleh penduduk kampung.

Bunga pahar pelbagai warna yang dicucuk pada batang pisang setinggi lapan kaki memeriahkan majlis.

Salikin berkata, beliau masih teringat pada hari persandingannya, beliau dan Anita mengenakan persalinan songket rekaan sendiri berwarna pucuk pisang.

Salikin dan Anita dikurniakan tiga orang cahaya mata, seorang lelaki dan dua orang perempuan, iaitu Ariq Siddiq, sembilan tahun, Asila Sofia, tujuh tahun dan Ajwa Saleha, lima tahun.

Tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak diserahkan kepada isterinya yang bijak menguruskan mereka sementara Salikin sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga.

''Kasih sayang akan hilang tanpa wang ringgit begitu juga sebaliknya. Kami berbincang akan peranan masing-masing dan kami setuju dengan tanggungjawab kami,'' kata Salikin yang tidak mengupah pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah.

Sementara itu, Anita yang pendiam dan nampak pemalu berkata, beliau menerima dengan reda jodohnya dengan Salikin dan amat menghormati suaminya. Selain itu, sikap Salikin yang bertanggungjawab kepada keluarganya dan pandai mengambil hati orang tua menambat hatinya.

Bertanya padanya apa yang tidak disukai oleh Salikin, kata Anita, suaminya itu amat mengutamakan kebersihan, tidak suka melihat rumah berselerak dan anak-anak tidak boleh dibiarkan bebas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: