Penangan watak Nur Amina dalam sebuah drama bersiri popular, Nur Kasih arahan Khabir Bhatia benar-benar membuatkan ‘saham’ pelakon wanita ini meningkat ke papan teratas carta pelakon-pelakon wanita. Sebut sahaja nama Tiz Zaqyah Razak atau popular digelar Tiz Zaqyah sudah tentu ia dikenali bukan sahaja oleh kanak-kanak malah juga orang yang lebih berusia. Biarpun baru setahun dua dia bergelumang dalam industri lakonan ini, namun nama dan dirinya sudah berada di kelas tertinggi, malah tidak hairanlah jika ramai pelakon muda segan untuk bergandingan dengan Tiz Zaqyah di dalam drama mahupun filem. Mempunyai aura yang jarang sekali dimiliki oleh kebanyakan artis yang ada di Malaysia, Tiz Zaqyah bagaimanapun tidak pernah menganggap bakat yang ada dalam dirinya menjadi tunggak utama kejayaan dalam membawa watak, tetapi bagi wanita ini, banyak lagi faktor lain yang membantu dia mencapai kualiti lakonan yang baik seperti sekarang ini. “Saya masih baru lagi, namun saya bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang ini. Apa yang saya peroleh sekarang, adalah apa yang saya usahakan tetapi saya masih percaya, jalan cerita yang baik akan membuatkan kita menjadi pelakon yang baik. “Kalau jalan cerita itu bagus, sudah tentu ia menjadi faktor utama untuk menarik penonton, dan saya hanya membantu untuk mencantikkan jalan cerita. “Kalau saya bagus sendirian pun tak menjadi juga, sebab ia seperti syok sendiri. Apa pun yang berlaku sekarang adalah hasil gabungan yang betul,”jelas Tiz Zaqyah. Memilih tawaran Tidak seperti kebanyakan artis, Tiz Zaqyah juga sebenarnya bukanlah seorang yang terlalu mengejar peluang. Biarpun namanya sedang meningkat naik, dia sama sekali tidak mengambil peluang keemasan lain untuk beralih bidang ataupun merebut tawaran lakonan dengan banyak. “Saya tidak akan mengambil banyak tawaran lakonan dalam satu masa, kebiasaannya bila hanya satu kerja sahaja, bila sudah selesai barulah saya terima tawaran lain. “Saya tak takut kalau orang lupa dengan kehadiran saya dalam industri ini, sebab bagi saya kalau kita bekerja dan berlakon dengan bagus, orang akan sentiasa mengingati kita walaupun lama tidak muncul. “Saya juga tidak tergugat dengan kehadiran pelakon-pelakon baru yang bersilih ganti sebab itu semuanya bergantung pada rezeki,”jelas Tiz Zqyah yang lebih selesa berlakon drama jika dibandingkan dengan filem. Soffiya Tiz Zaqyah bakal muncul bergandingan bersama Fizo Omar dalam drama bersiri baru di TV3 untuk slot Akasia. Membawakan watak gadis malang yang bernama Soffiya, menurut Tiz, ini kali pertama dia bergandingan bersama Fizo dan membawakan watak remaja yang dirogol. “Ini cabaran utama saya dalam drama, dan ini juga pertama kali saya membawa watak dirogol. Tak dinafikan agak sukar untuk membawa emosi itu, tetapi dengan bantuan abang Hilal Azman, ia sedikit sebanyak membantu. “Dengan Fizo, memang tiada masalah, walaupun kali pertama bergandingannya, tetapi mudah untuk kami mencipta keserasian,”jelasnya. |
Saturday, October 1, 2011
Tiz Zaqyah tidak tergugat dengan artis baru
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: