Saturday, October 1, 2011

Ezlynn sudah berteman


Macam gaya duta basikal pula.


KETIKA S3 menjayakan program Artis Pencinta Alam ke Pulau Banding, Gerik, Perak,baru-baru ini, penyanyi Ezlynn adalah di antara artis yang terlibat.

Memandangkan sepanjang tiga hari berada di sana, pelbagai aktiviti diatur oleh penganjur dan jurufoto S3 hanya berkesempatan merakamkan gambar Ezlynn di saat akhir sebelum rombongan pulang ke Kuala Lumpur.

Walaupun dalam keadaan kelam kabut dan panas terik, Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin,30, tetap memberi kerjasama walaupun tanpa mekap.

“Maaf ya kak, Lynn tidak bersolek macam selalu. Maklumlah kita kat sini, tak mungkin nak bersolek mampan...kenalah ikut keadaan sekitar. Masuk hutan, nak bersolek sakan...siapa yang tengok,” katanya sambil ketawa sebelum mula mengayuh basikal.

Biarpun sekadar mengenakan gincu, namun kejelitaan penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu tetap terserlah.

Menurut Ezlynn, sekarang kalau tidak sibuk dengan kegiatan seni suara atau lakonan, dia banyak menghabiskan masa dengan teman barunya, mountain bike (basikal bukit).

Dia yang gemar berjogging pada waktu lapang itu berkata, mula menggemari sukan lasak basikal bukit sejak dua tahun lalu dan sering menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

“Lynn suka sukan outdoor sebab ia mencabar. Macam berbasikal ini, sudah berapa kali jatuh bangun. Kata orang, kalau naik mountain bike dan tidak jatuh tergolek...tidak sah.

“Naik mountain bike ini berbeza daripada basikal biasa kerana kita akan lalui laluan tidak rata. Waktu itulah kita kena bijak mengawal.

Silap haribulan boleh jatuh. Apa pun Lynn akan pastikan menggunakan peralatan yang lengkap,” katanya yang tidak serik walaupun sudah berkali jatuh.

Pemilik basikal bukit hard tail ini sering diundang menyertai pelbagai aktiviti dan jika tidak bercanggah dengan jadual kerjayanya, Ezlynn tidak akan menolak.

Katanya, kegiatan berbasikal lasak ini bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah sentiasa menguji tumpuan penunggang agar berjaya sampai ke destinasi dengan selamat.

“Setakat ini Lynn tidak menyertai mana-mana persatuan basikal sebab senang bergerak solo. Kalau diundang sertai aktiviti mereka dan kebetulan ada kelapangan, Lynn tidak akan menolak.

“Walaupun berbasikal di tengah panas dan jatuh, Lynn tidak kisah kerana di sebalik itu ada kebaikannya. Memanglah kulit Lynn jadi gelap daripada biasa tapi ia nampak glowing dan garis-garis di bawah mata pun hilang. Selain itu pembuangan toksid berlaku kerana bila bersukan kita dapat cukup oksigen,” jelasnya.

Jadi puntianak

Setelah berlakon filem Diva Popular, Bilut dan Zombie Kampung Pisang, kini Ezlynn menunggu tayangan filem Husin, Mun dan Jin Pakai Toncit yang merupakan sekuel daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Dalam filem arahan Mamat Khalid itu, Ezlynn masih memegang watak Mun, teman wanita kepada Husin, lakonan Awie.

“Kali ini watak Mun best, boleh terbang macam puntianak. Untuk buat adegan terbang itu, Lynn kena berada di tempat tinggi dengan badan diikat. Kali pertama, Lynn buat adegan macam itu.

“Lynn tidak rasa takut sangat ketika menjalani babak itu sebab Lynn dilengkapi dengan peralatan keselamatan. Tapi kalau suasana sekeliling memang gerun. Kami shooting malam.

“Bila berada di tempat tinggi, Lynn boleh melihat sekeliling tapi disebabkan gelap, pandangan Lynn hanya tertumpu pada pengarah sahaja,” katanya yang akan muncul dengan single Dusta sebagai pengenalan produk terbaru daripada Alibi Music.

“Lagu itu dicipta oleh Francis Cobb dan Eiqa. Ia berentak dance dan rakamkan pada tahun lalu,” katanya ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: