KETEPATAN, kemahiran serta tumpuan 100 peratus adalah antara ramuan utama yang perlu ada ketika anda bermain snuker.
Barangkali nampak mudah bagi sesetengah individu, namun sekiranya anda salah menyasarkan batang kiu sudah tentu bola yang ingin ditujah akan tersasar sekali gus memberi kesan tidak bagus kepada kutipan mata.
Sebaliknya, jika anda telah mula memperoleh teknik yang betul ketika memegang kiu atau menyasarkan bola putih di atas meja snuker, nikmat sebenar bermain mula terasa sehingga mampu memberikan kepuasan maksimum.
Bagi atlet angkat berat negara, Mohd. Hafifi Mansor selain dapat memberikan kepuasan, bermain snuker juga mampu memberi manfaat kepada dirinya terutama dalam melatih diri mendapatkan fokus terbaik.
Sewaktu berada di meja snuker, tumpuannya akan lebih terarah kepada bola-bola yang ingin disasarkan dan tujahan yang dibuat ke atas sasaran tidak pernah mengecewakan.
Hafifi yang mengagumi jaguh snuker dunia, Jimmy White memberitahu, minat terhadap snuker lahir ketika berada di bangku sekolah menengah, namun kini aktiviti tersebut hanya dilakukan ketika mempunyai kelapangan bersama rakan-rakan.
“Cabaran yang ada dalam snuker dapat membuatkan diri anda sentiasa ingin melakukan yang terbaik selain dapat memberikan ketenangan daripada segala tekanan yang ada.
“Snuker sedikit sebanyak ada mengajar saya untuk memperoleh fokus dan ini dapat dimanfaatkan ketika saya beraksi pada mana-mana kejohanan angkat berat.
“Dahulu ketika mula-mula bermain snuker memang agak kekok, tetapi bila dapat memasukkan bola ke dalam lubang menyebabkan anda rasa ingin mengulanginya lagi,” kata Hafifi.
Menurut Hafifi, bola biru akan sentiasa menjadi sasaran utamanya selepas memasukkan bola merah ke dalam lubang poket meja snuker.
Tambah Hafifi, bola biru adalah kegemarannya selain jarang tersasar apabila cuba memasukkan ke dalam lubang yang dituju.
“Saya akan cuba mengunakan apa juga skil untuk memasukkan bola biru dan jika bernasib baik bola akan terus masuk ke mana-mana lubang di atas meja snuker.
“Bagi saya snuker adalah aktiviti riadah yang boleh memberikan anda kepuasan apatah lagi jika dapat bermain bersama rakan-rakan,” kata Hafifi.
Sementara itu, Hafifi yang kini dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Angkat Berat Dunia di Perancis, November depan berharap, mampu memperbaiki angkatan peribadi terbaiknya iaitu 306 kilogram yang dilakukan ketika Sukan Komanwel, tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: