Friday, October 21, 2011

Belum puas dengan kejayaan


MICHAEL Bolton akan terus menyanyi selagi hayatnya dikandung badan.


SEBELUM temuramah dengan penyanyi lelaki yang dikategori sebagai pemilik vokal jantan dan seksi ini, penulis telah diingatkan oleh wakil syarikat rakaman Sony Music Entertainment bahawa Michael Bolton seorang yang cukup peramah.

Kata wakil itu lagi, ada kalanya had perbualan yang ditetapkan boleh terbabas dari 10 minit menjadi satu jam.

Sebaik sahaja mendengar suaranya, sesi temu ramah pun dimulakan dan dengan pantas Bolton ditebak dengan pelbagai soalan.

Ternyata apa yang dikatakan oleh wakil Sony Music sebelum itu benar belaka kerana Bolton sememangnya cukup peramah dan tidak lokek memberikan jawapan untuk setiap soalan yang diajukan.

Barangkali akan ada yang beranggapan bahawa populariti Bolton hari ini tidak lagi sama seperti mana zaman kegemilangan yang pernah dikecapinya pada tahun 1990-an.

Sebagai seorang yang sudah hampir 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Bolton menegaskan sebagai seorang penghibur, populariti akan datang sendiri seiring dengan hasil kerja yang diberikan.

Dalam usianya yang sudah pun mencecah 58 tahun itu, percaya atau tidak, Bolton memberitahu dia masih belum puas dengan apa yang dikecapinya setakat ini.

Katanya, adalah menjadi tugas seorang penghibur untuk terus menimba ilmu pengetahuan dalam memperbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik.

"Perkataan puas itu bukanlah sesuatu yang gemar saya gunakan dalam kehidupan saya. Setiap kali saya membuat persembahan atau melahirkan album, ia adalah satu proses pembelajaran untuk saya menilai diri saya sendiri.

"Masih banyak yang mahu saya kecapi dan pelajari. Sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang anak seni, saya harus akui saya banyak belajar daripada penyanyi yang berpengalaman," katanya membuka bicara sewaktu dihubungi Hits di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Dalam konteks ini, ujar penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu How Am I Supposed To Live Without You ini menjelaskan penyanyi-penyanyi seperti Bob Dylan, Stevie Wonder, Ray Charles, Marvin Gaye dan Luciano Pavarotti merupakan antara mentornya dalam dunia seni.

Jelas Bolton atau nama sebenarnya Michael Bolotin ini lagi, setiap penyanyi yang disebutkan itu telah mengajarnya banyak aspek dalam dunia nyanyian.

Sebagai contoh, kelebihan Wonder adalah kepada gaya penyampaian yang penuh jiwa manakala Gaye pula lebih kepada teknik nyanyian yang disifatkan Bolton sebagai penyanyi yang bergaya.

"Pernah juga satu ketika di mana saya membuat persembahan bersama Pavarotti yang saya anggap sebagai penghibur yang tiada galang ganti.

"Sehinggakan saya sendiri sanggup untuk mempelajari teknik vokal yang mengubah suara saya menjadi tenor dan soprano. Itu adalah sesuatu yang cukup membanggakan kerana saya dapat mempelajari sesuatu yang baru.

"Bagi saya, kehidupan ini harus dinikmati semaksimum mungkin dan harus berani belajar benda baru agar kita tidak cepat berasa bosan.

"Jika tidak, kita sendiri tidak tahu di manakah kebolehan kita dalam memberikan variasi dalam persembahan kita. Dan, saya percaya ia juga sama seperti dalam mana-mana pekerjaan sekali pun," kata Bolton yang dilahirkan pada 26 Februari 1953 ini panjang lebar.

Begitu juga dengan penjelasan Bolton saat ditanyakan tentang rahsia kejayaannya selama bergelar penghibur apabila penyanyi ini memberitahu dia bahagia dengan segala nikmat yang diberikan.

Kata Bolton lagi, ada kalanya dia tersenyum sendirian apabila mengenangkan kembali segala kepayahan yang pernah dilaluinya dalam mencipta nama sebagai seorang penyanyi.

Dalam erti kata lain, dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bekerja keras bagi memastikan dia mampu menggapai impian dan cita-citanya.

"Seperti mana yang saya katakan tadi, dalam kehidupan terutama karier seperti saya ini, seseorang itu tidak boleh berada dalam keadaan statik.

"Kita harus sentiasa mencari peluang dan mencuba sesuatu yang kita sendiri tidak pernah sangka kita mampu melakukannya.

"Sebagai contoh, saya memulakan karier saya sebagai vokalis kumpulan yang memperjuangkan genre hard rock dan kemudiannya saya beralih kepada balada, pop dan soft rock.

"Tetapi, saya tidak pernah berasa puas dan saya mencuba pula lagu-lagu yang berentak rancak. Menjadi seorang penyanyi dan penghibur itu juga diibaratkan seperti peserta yang bertanding di dalam sukan Olimpik.

"Serba-serbi harus berada dalam keadaan yang baik dan apa yang paling penting adalah disiplin kerana itulah tunjang utama dalam kejayaan seseorang artis itu jika mahu terus bertahan," jelas pemenang anugerah Grammy bagi kategori Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik sebanyak dua kali ini dengan penuh makna.

Sepanjang bergelar anak seni juga, Bolton sudah menjalinkan kerjasama dengan ramai penerbit, komposer dan penulis lirik sehingga ada yang sudah menjadi teman akrabnya.

Salah seorang daripadanya adalah penerbit dan komposer tersohor dunia, David Foster yang sudah dikenali Bolton lebih daripada 20 tahun.

Saat diminta pandangannya terhadap Foster, Bolton yang juga pernah popular dengan lagu Said I Loved You...But I Lied itu menyifatkan teman baiknya itu sebagai penerbit kegemarannya yang memiliki sentuhan sakti.

Malah, setiap kali jika ada projek yang melibatkan Foster, Bolton pasti tidak akan menolaknya kerana dia tahu kelebihan yang dimiliki oleh Foster dalam mengubah sesuatu itu menjadi luar biasa.

"Foster seorang yang genius dalam bidang muzik dan dia tahu serta dapat mengesan potensi seseorang itu untuk diketengahkan sehingga menjadi bintang mega.

"Lihatlah bagaimana Celine Dion mengecapi kemasyhuran dan semuanya adalah kerana Foster. Begitu juga dengan saya apabila sudah beberapa kali bekerjasama dan menggunakan khidmatnya sebagai penerbit album," jelas Bolton yang pernah menghasilkan empat album iaitu Time, Love & Tenderness, Timeless: The Classics, The One Thing dan This Is the Time: The Christmas Album bersama Foster.

Dalam ribuan lagu yang pernah dihasilkan Foster, Bolton mengakui dia cukup menggemari lagu The Prayer yang dipopularkan oleh Celine Dion dan Andrea Bocelli.

Pada pandangannya, The Prayer merupakan karya agung Foster dan lagu itu sememangnya cukup indah serta sempurna yang barangkali sukar sekali untuk dihasilkan sekali lagi.

Ditambah pula dengan paduan suara dua penyanyi hebat di mata Bolton menjadikan The Prayer sebagai sebuah lagu terbaik yang pernah dihasilkan.

"Saya mengenali Dion sewaktu dia baru hendak menembusi pasaran muzik Amerika Syarikat dan ketika itu, saya juga sudah nampak potensinya untuk menjadi seorang penyanyi hebat.

"Lalu, apabila Foster menggabungkannya dengan Bocelli yang juga memiliki suara yang begitu indah, ia menjadikan The Prayer sebagai sebuah karya yang tiada duanya.

"Malah, saya juga merakamkan kembali lagu itu di dalam album terbaru saya, Gems - The Duets Collection bersama Lara Fabian," jelas Bolton yang pernah menjadi penyanyi lagu tema filem animasi Hercules, Go the Distance.

Kerana hubungan akrabnya dengan Foster jugalah, dia telah menerima tawaran untuk melibatkan diri dalam konsert jelajah David Foster & Friends Live In Asia Tour 2011.

Bakal mengadakan persembahan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok (22 Oktober), Bolton sudah tidak sabar lagi untuk memberikan persembahan terbaik.

"Apa yang saya harapkan penonton yang hadir nanti akan terhibur dengan persembahan kami dan saya percaya ia akan menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan," katanya yang akan mempersembahkan lagu-lagu popularnya dalam persembahan itu nanti.

Selain Foster dan Bolton, persembahan itu juga turut disertai oleh penyanyi seperti Charice, Ashanti, Russell Watson dan Philip Bailey.

Tiket-tiket berharga dari RM103 hingga RM583 masih lagi dijual dan sebarang pembelian serta tempahan tiket bolehlah dibuat menerusi www.jagtickets.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: