Saturday, October 1, 2011

Cabaran lasak di Lembah Kiol



CAHAYA matahari yang mula meninggi di sekitar kawasan Lembah Kiol, Jerantut, Pahang itu beransur-ansur mematikan kedinginan pagi. Bagaimanapun, ia langsung tidak menjejaskan tumpuan sekumpulan 28 peserta yang bersaing dalam perlumbaan basikal merentas desa yang diadakan sempena Pahang Merdeka Challenge 2011 itu.

Lengkap berpakaian sut perlumbaan, kesemua peserta kelihatan begitu bersemangat meneruskan kayuhan mereka berhadapan laluan lasak dan sukar yang tersedia.

Tidak terkecuali, Mohd. Khairi Adham, 16, yang baru pertama kali menyertai sukan yang agak baru dalam dirinya.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mengakui perlumbaan itu sangat mencabar. Katanya, setiap peserta perlu menamatkan kayuhan sebanyak enam pusingan membabitkan jarak sejauh 24 kilometer.

“Peserta bukan sahaja perlu melakukan kayuhan di atas trek padang rumput yang basah dan licin malah terpaksa berhadapan kepelbagaian bentuk muka bumi di sekelilingnya.

“Paling mencabar ialah setiap peserta perlu melepasi halangan Sungai Kiol yang sejuk dan dingin,” katanya yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM600 berserta trofi dan hamper.

Menggunakan basikal jenis road bike TRS, anak bongsu daripada tiga beradik itu memberitahu telah membuat persediaan awal sebelum menyertai perlumbaan yang julung-julung kali diadakan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lipis itu berkata, berbeza dengan perlumbaan basikal biasa, perlumbaan basikal merentas desa nyata menguji kekuatan mental dan fizikal peserta.


ANTOI memastikan 4X4 miliknya berkeadaan baik untuk berhadapan dengan cabaran SS.


Faktor usia

“Kaki kena kuat untuk melakukan kayuhan, apatah lagi setiap trek mempunyai perbezaan bentuk buka bumi.

“Sebelum pertandingan bermula saya sering berkayuh empat kali seminggu dengan jarak 20 kilometer sehari untuk mengekalkan stamina,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Hoong Fan Pan, 38, berkata faktor usia tidak menghalangnya untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Menggemari aktiviti berbasikal sejak zaman remaja, pengusaha kedai basikal di Jerantut itu berkata, cabaran di Lembah Kiol berbeza berbanding perlumbaan-perlumbaan lain yang pernah disertainya sebelum ini.

“Lazimnya, ia sering diadakan di dalam hutan di mana suasananya lebih redup dan nyaman, bagaimanapun cabaran di sini agak berbeza kerana peserta berlumba di kawasan padang rumput yang berbukit-bukau dan terdedah kepada pancaran terik matahari.

“Apapun ia merupakan satu pengalaman yang menarik, lebih-lebih lagi dalam mempopularkan aktiviti ini di Lembah Kiol pada masa hadapan,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Memasuki edisi kedua tahun ini, Pahang Merdeka Challenge 2011 tidak terhad kepada perlumbaan berbasikal merentas desa semata-mata. Turut diadakan ialah cabaran Special Stage (SS) kenderaan pacuan empat roda (4X4), karnival jualan, pertandingan golf dan persembahan band-band jemputan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Pahang, Idros Yahya berkata, pemilihan Lembah Kiol bertujuan mempopularkan kawasan hutan simpan itu dalam kalangan pengunjung dan pelancong asing.

Beliau berkata, kawasan Jerantut bukan sahaja terkenal dengan keunikan Taman Negara Pahang, malah turut mempunyai beberapa kawasan rekreasi yang tidak kurang hebatnya.

Katanya, Lembah Kiol agak istimewa kerana mempunyai satu-satunya padang golf yang dibina di kawasan rimba di negara ini.

“Pada masa yang sama, kawasan sekelilingnya kaya dengan keindahan alam semula jadi yang boleh dijadikan tarikan pelancongan ke Jerantut.


AKTIVITI berbasikal merentas desa bakal menjadi tarikan peminat-peminat sukan itu ke Lembah Kiol.


“Antara yang menarik terdapat di sini ialah pengunjung berpeluang melihat perkampungan Orang Asli di Sungai Lekor dan Air Terjun Lata Meraung setinggi tujuh tingkat,” jelasnya.

Majukan Jerantut

Idros berkata, pihaknya bercadang untuk memajukan Lembah Kiol sebagai lokasi bagi peminat-peminat sukan lasak di Pahang.

“Jika daerah Cherating terkenal dengan aktiviti luncur air, Tioman aktiviti menyelam, Rompin memancing, Jerantut (Lembah Kiol) pula akan menjadi pusat sukan lasak dan golf pada masa hadapan.

“Antara cadangan kita ialah membina tempat latihan ujian pemanduan 4X4, membina trek berbasikal merentas desa, memajukan kawasan sekitarnya sebagai pusat rekreasi dan perkelahan di samping membaik pulih kemudahan golf yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta SS dari Gombak, Kuala Lumpur, Mohd. Hazizul Hanifah, 34, berkata, dia teruja menyertai Pahang Merdeka Challenge 2011, selepas kali pertama menyertainya tahun lalu.

“Tahun lalu, peserta-peserta dibawa menyertai aktiviti penjelajahan ke Ulu Sungai Salan yang terkenal di kalangan peminat-peminat 4X4 di negara ini.

“Bagaimanapun, acara tahun ini di Lembah Kiol lebih meriah kerana turut diselangi dengan pertandingan berbasikal merentas desa dan Twilight Zone, persembahan band-band jemputan dan sebagainya,” katanya.

Mula menceburi sukan 4X4 sejak setahun lalu, Mohd. Hazizul atau lebih mesra dengan gelaran Antoi berkata, tahun ini dia menyertai cabaran SS yang menguji kemahiran pemanduan dan teknikal peserta.

Katanya, dalam pertandingan itu, peserta-peserta perlu melepasi tiga cabaran SS mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Biarpun tidak memenangi sebarang hadiah namun saya tetap berpuas hati kerana berpeluang mencuba dan menghabiskan setiap cabaran yang diberikan.


PENYERTAAN sulung dalam acara berbasikal merentas desa nyata membawa tuah kepada Mohd. Khairi.


“Apa yang penting, saya datang bukan untuk bertanding semata-mata sebaliknya mahu bertemu rakan-rakan lain yang turut mempunyai hobi yang sama dalam sukan ini.

“Pada masa yang sama, saya juga berpeluang melihat keindahan Lembah Kiol dan kawasan sekitarnya dengan lebih dekat. Pastinya saya akan kembali semula ke sini pada masa hadapan,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: