Saturday, October 1, 2011

Varian berprestasi Ford Fiesta


BADAN model ini direndahkan dengan arca roda lebar yang dipadankan dengan roda aloi 17 inci. Kit badannya juga benar-benar agresif.


PENGELUAR kenderaan sekarang sedang sibuk dengan model global. Masing-masing mempertaruhkan model yang bukan sahaja untuk pembeli di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) atau Asia Barat, tetapi ke seluruh dunia. Baik Jepun, Filipina, Bostwana atau mana-mana sahaja pasaran yang difikirkan berpotensi.

Jika anda menonton berita mengenai pergolakan negara Arab dan kini paling hangat di Libya, pasti ternampak yang tentera pemberontak menggunakan Mitsubishi Triton Lite dengan belakangnya dipasangkan senjata. Sangat cool!

Itu juga menunjukkan mengenai capaian global Mitsubishi yang begitu jauh. Ia juga membuktikan bagaimana sebuah kenderaan yang versatil untuk pelbagai jenis pasaran dan kegunaan.

Walau bagaimanapun, jika diperhatikan kepada sesebuah kereta global, spesifikasinya tidaklah suatu yang di luar dunia. Buktinya, lawatlah ke bilik pameran yang menjual kereta-kereta global seperti Ford Fiesta, Mazda2, Chevrolet Cruze atau Honda Jazz.

Walaupun terdapat model yang impresif, namun kita tetap akan menjumpai kelemahan seperti ruang dalaman yang sempit, kerusinya keras dan macam-macam lagi.

Model global Ford

Biarpun begitu, kereta-kereta itu tetap mencatat jualan yang bagus. Situasi ini membuatkan saya terfikir, susah sangatkah Proton untuk membina sebuah kereta sebegitu? Berapa lama lagi masa yang mereka perlukan?

Betul, Proton bakal mempunyai model global seperti pengganti Persona dan Emas. Tetapi itu tidak memadai, Hyundai dan Kia tidak hanya mempunyai sebuah model hit.


TEMA perlumbaan diteruskan pada ruang kabin dengan penggunaan kerusi Recaro.


Sedangkan Lotus yang merupakan syarikat milik Proton sendiri melancarkan lima model konsep secara serentak pada Pameran Kenderaan Paris 2010.

Sebuah model kereta global yang saya fikir biasa-biasa tetapi mencatat jualan yang membanggakan ialah Ford Fiesta generasi baru. Masakan tidak, setakat Mac lepas jualan globalnya sudah melepasi angka sejuta unit selepas pertama kali dijual pada tahun 2008.

Jika diikutkan, Fiesta ialah sebuah kereta bandar yang sempit. Ruang dalamannya mungkin akan membuatkan mereka yang bertubuh besar berasa lemas, bumbung belakangnya hampir mencecah kepala penumpang dewasa.

Sebetulnya Fiesta ialah kereta kompak yang selayaknya mempunyai dua pintu sahaja seperti Proton Satria Neo. Tetapi Fiesta sebenarnya ialah sebuah kereta yang sempurna.

Penerus legasi

Dengan harga yang berpatutan serta rekaan bergaya, Fiesta didatangkan dengan spesifikasi penuh seperti enjin Ti-VCT, ciri-ciri keselamatan seperti ESP, TCS serta transmisi 6 kelajuan berkembar Powershift. Kereta-kereta bandar Jepun atau Korea patut tersipu-sipu malu dengan pakej yang ditawarkan oleh Fiesta.

Baru-baru ini di Frankfurt, Jerman, Ford telah mempertontonkan kepada umum sebuah varian yang mungkin membuat pemilik sedia ada Fiesta atau peminatnya meleleh air liur. Ford Fiesta ST Concept adalah imbasan kepada varian berprestasi Fiesta ST yang bakal ditawarkan kepada umum pada masa depan.

Jika VW ada Polo GTI, Ford ada Fiesta ST. Fiesta ST Concept menggabungkan rekaan yang catchy, maskulin dan sporty.

Fiesta ST adalah penerus legasi 35 tahun Ford dalam menghasilkan kereta kecil berprestasi tinggi. Abang-abang senior Fiesta ST terdiri daripada model Fiesta XR2, XR2i, Fiesta RS1800 dan RS Turbo.

Sama seperti Fiesta RS WRC yang digunakan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), Fiesta ST Concept menggunakan enjin 1.6 liter EcoBoost yang mempunyai prestasi tinggi, sesuai dengan imej agresif model itu.

Sepertimana enjin-enjin lain dalam famili EcoBoost Ford, enjin Fiesta ST Concept menggunakan teknologi pengecas turbo dan pancitan terus bagi menyamai kuasa enjin tradisional yang berkapasiti lebih besar.

Molten Orange

Enjin Fiesta ST Concept turut mempunyai teknologi Twin-indipendent Variable Camshaft Timing (Ti-VCT) dengan kuasa yang dipertingkatkan sesuai dengan varian istimewa ST.

Kuasa puncak model itu ialah 180PS dengan 240Nm tork. Cukup untuk membolehkan capaian dari 0-100 kilometer sejam (km/j) kurang dari tujuh saat. Kelajuan maksimumnya pula dikatakan melebihi 220km/j.

Fiesta ST Concept bukan setakat mencerminkan kuasa Fiesta WRC, tetapi turut mengambil gayaannya.

Warna baharu turut dilayangkan pada badan model itu iaitu Molten Orange. Sama seperti model pikap Ford SVT F-150 Raptor yang dipasarkan di AS.

Geometri suspensi pula diubah bagi memastikan pengendalian dan kawalan yang dinamik untuk meraikan pemandu yang suka memandu pada batas-batas prestasi kenderaan.


FIESTA ST sempurna bersama kerangka dinamik, selain enjin berprestasi tinggi dengan penggunaan minyak impresif dan emisi CO2 yang rendah.


“Dengan Focus ST, kami berjanji untuk memberikan kereta yang berprestasi dan bergaya kepada pasaran global buat kali pertama, tanpa mengorbankan nilai utama Ford seperti pintar, selamat, kualiti dan hijau,” kata Pengarah Kenderaan Berprestasi Global Ford, Jost Capito.

Sesuai dengan namanya, pemilik Fiesta ST pasti akan lebih berfiesta dengan model ini. Para pengikut dan peminat pula akan bertambah kagum dengan Ford. Itulah nilai yang ada pada sebuah model berprestasi global.

Dalam konteks kereta nasional pula, kita perlukan sebuah model global yang betul-betul global dan bukan setakat model syok sendiri dan jaguh kampung. Oopss! Bukan sebuah, tetapi pelbagai model global.

Bukankah Wira, Satria dan Waja itu membawa maksud hero, pahlawan dan kekentalan. Sudah sampai masanya kita membuktikan kepada diri sendiri dan dunia apa maksud-maksud nama itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: