|
KIRA-KIRA 21 tahun lalu sesiapapun tidak mengenali Kampung Bagan Lalang sebagai lokasi pelancongan seisi keluarga yang menarik. Pesisiran pantainya sekadar dipenuhi habitat paya bakau yang masih terpelihara.
Pada waktu itu, Bagan Lalang bukan pilihan utama pengunjung untuk menikmati keindahan suasana pantai yang menghadap Selat Melaka. Walaupun Bagan Lalang terletak lebih hampir dengan Kuala Lumpur, orang ramai tetap menuju ke Port Dickson.
Begitupun, Kampung Bagan Lalang dikenali melalui keenakan hidangan ikan bakar dan makanan lautnya.
Pantainya hanya dilitupi pasir, lumpur, pokok bakau dan pokok rhu tanpa pembangunan yang teratur selain pola petempatan kampung nelayan yang saban hari dipenuhi aktiviti desa tanpa sebarang arus kemodenan.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa, Raja Hilmy Raja Idris, 45, berkata, bermula pada tahun 1990, perancangan pembangunan kerajaan negeri Selangor ketika itu telah memberi lembaran baharu kepada Sepang dan Pantai Bagan Lalang khususnya.
Kerajaan negeri mula membuka mata masyarakat negara ini dan dunia dengan mewujudkan destinasi pelancongan baharu iaitu di sekitar Sungai Pelek, Sepang, Selangor.
Sejak itulah, menurutnya, Kampung Bagan Lalang menempa nama.
“Terdapat kira-kira enam medan ikan bakar yang wujud di pesisiran Pantai Bagan Lalang untuk dikunjungi pengunjung selain di Sepang Gold Coast.
“Selain menyediakan juadah menyelerakan, pengunjung luar juga boleh menikmati pemandangan pantai tatkala senja melabuhkan tirainya,” jelas Raja Hilmy yang mengakui lokasi menghadap Selat Melaka mempunyai tarikan tersendiri.
Menyingkap latar belakang Kampung Bagan Lalang, ia sebenarnya merupakan sebuah perkampungan awal persisiran pantai di Daerah Sepang, Selangor.
“Perjalanan ke Kampung Bagan Lalang dari Kuala Lumpur mengambil masa 45 minit melalui Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Selain itu, pengunjung juga perlu melalui kawasan Litar Lumba F1 Antarabangsa Sepang sebelum sampai ke Kampung Bagan Lalang,” katanya.
Lokasi strategik
Tambah Raja Hilmy, masyarakatnya lebih selesa untuk melibatkan diri dalam sektor pelancongan dan perniagaan di sekitar kawasan pantai.
“Kedudukannya yang strategik dan mudah untuk ditemui ia turut menjadi antara lokasi tumpuan anak muda di waktu lapang mereka untuk berkelah di sini,” jelasnya.
Pembangunan pesat di daerah itu sekali gus membuatkan Sepang semakin dikenali ramai dan mula meniti di bibir masyarakat dunia selepas pembukaan KLIA Sepang dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Setelah terbinanya Sepang Gold Coast iaitu merupakan projek hartanah mega termasuk rangkaian vila atas air yang membentuk pohon kelapa sawit ia merubah persepsi pelbagai pihak dan landskap Sepang serta sektor pelancongannya.
Golden Palm Tree Iconic Resort & Spa yang diusahakan oleh Sepang Bay Sdn. Bhd. (Sepang Bay) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) terus mewarnai suasana Pantai Bagan Lalang di Sepang.
Struktur ikonik dari pandangan udara itu menyaksikan sejumlah 399 vila terapung disusun menyerupai bentuk pokok palma. Difahamkan, ia telah tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai resort pokok palma terpanjang di negara ini.
Salah seorang pengunjung, Aishah Ismail, 35, berkata, alam semula jadi merupakan terapi yang baik untuk minda, emosi dan fizikal. Maka, dia memang bersetuju kalau Golden Palm Tree Iconic Resort & SPA menjadi tempat untuk menikmati elemen itu.
Setiap pengunjung berpeluang untuk meneroka dan bermesra dengan alam semula jadi yang terdapat di sekitar kawasan peranginan yang mula beroperasi pada Jun 2010 itu.
“Hembusan angin dan deruan ombak yang sekali-sekala menghempas ke pantai menyuntik rasa tenang dan damai di jiwa. Seketika, perasaan hati begitu melonjak ingin menetap di situ selama-lamanya.
“Ditambah pula dengan pemandangan sekitarnya yang menarik cukup merehatkan minda sekali gus menjadi terapi terbaik untuk menyihatkan tubuh yang penat dan stres kerana kesibukan kerja di bandar,” ujarnya.
Tambah Aishah, pusat percutian yang dikenali sebagai Syurga Pesisir Pantai Terpanjang Di Asia itu kini menjadi antara destinasi percutian sekeluarga yang menarik untuk dikunjungi.
Kembara eko
Selain menawarkan kedamaian alam gaya hidup pantai, ia turut menyediakan konsep percutian kembara eko kepada pengunjung.
“Tidak kira sama ada kunjungan bersama teman atau keluarga, di sini pelbagai aktiviti darat dan akuatik yang disukai boleh dicuba mengikut cita rasa masing-masing,” jelas Aishah teruja.
Bagi yang meminati acara di pantai dan laut, mereka boleh bergembira di kolam renang hinggalah ke aktiviti yang lebih mencabar seperti menaiki perahu layar dan berkayak.
Di darat pula, tetamu Sepang Gold Coast boleh menyertai aktiviti memanah, bersenam di gim, luncur layar darat dan bersiar-siar di kawasan kampung.
“Untuk anak kecil dan remaja berusia empat hingga 12 tahun, ada banyak aktiviti yang sesuai disediakan iaitu permainan layang-layang, berbasikal dan acara di Kids Club.
“Jadi, ibu bapa bebas melakukan aktiviti yang disukai, manakala anak-anak mereka boleh berseronok dengan kegiatan masing-masing.
“Semua aktiviti di darat dan air yang disediakan di sini adalah percuma untuk tetamu resort,” jelasnya.
Pilihan lain ialah menaiki bot dan menyelusuri sungai untuk melihat alam semula jadi paya bakau dan juga meninjau aktiviti seperti menternak ikan serta menangkap lokan.
Setelah puas berkeringat, mereka yang suka memanjakan diri tentunya mahu membelai diri di spa yang menawarkan pelbagai rawatan.
Sementara itu, Pengurus Besarnya, Pascal Prigent, 51, menjelaskan bahawa pada bulan-bulan cuti persekolahan, lebih banyak pilihan aktiviti lasak dan mencabar turut diperkenalkan di pusat pelancongan itu termasuklah memanjat dinding, abseling dan beberapa lagi cabaran ekstrem lain.
Katanya lagi, sebagai tarikan untuk pelancong dari luar negara, beberapa permainan tradisional juga akan diperkenalkan di sekitar kawasan resort. Dengan adanya kepelbagaian aktiviti itu, pengunjung tentu berpuas hati.
“Selain melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh menikmati sepuas-puasnya sajian makanan sebanyak lima kali sehari dari menu tempatan serta antarabangsa.
“Bagi yang ingin keluar dari resort dan ingin bersiar-siar ke ibu negara pula, ada pengangkutan percuma disediakan setiap hari. Sememangnya datang ke sini cukup berbaloi sekali,” kata Prigent.
Sememangnya, ekologi alam semula jadi hutan bakau yang disuntik pembangunan moden langsung tidak menjejaskan keindahan yang sedia ada.
Menambahkan lagi keistialah pemandangan pusat percutian itu adalah dari udara yang memperlihatkan struktur ikon - 399 vila terapung atas air dan tersusun cantik serta kemas, membentuk pulau pokok palma seperti di Dubai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: