Sunday, October 9, 2011

Busana Muslimah pikat hati


JUBAH disulami batu dan manik menambah seri si pemakai.


PERKEMBANGAN fesyen semasa tidak terhad kepada gaya moden kontemporari yang hanya sesuai untuk wanita barat. Bukan juga kerana batasan adat dan agama menjadikan wanita Islam tidak boleh bergaya.

Adunan gaya timur dan barat yang menepati ciri-ciri busana Muslim dengan sedikit sentuhan kreativiti menjadikan dunia fesyen kini semakin rencam dan menarik. Maka lahirlah pelbagai fesyen biar pun kelihatan ranggi dipakai, namun tidak menjolok mata.

Hannah Gallery di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor tidak mahu ketinggalan memenuhi cita rasa Muslimah dalam berfesyen. Mengagumi rekaan fesyen antarabangsa, pemilik butik itu, Fuzidah Muda percaya kepada keberanian berfesyen tetapi pada masa yang sama tidak menyanggah tuntutan agama dan budaya. Bijak membuat padanan selain kreatif bermain dengan warna, menghasilkan gaya mempersona serta menyerlahkan personaliti yang tersendiri.

Pilihan fesyen yang disediakan di galeri itu amat pelbagai. Skirt labuh, jubah, blouse, seluar, jaket dan bermacam-macam rekaan terkini ditawarkan di situ. Tidak dilupakan himpunan gaya tradisional seperti baju kurung yang dijahit rapi menggunakan pilihan kain menarik serta selesa dipakai.

Menariknya tentang koleksi fesyen di Hannah Gallery adalah kreativiti Fuzidah menyusun atur pelbagai corak yang dijahit dengan manik dan batu menambah keanggunan si pemakai.

Menggemari kain-kain polos, segala bakat serta idea dicurahkan di atas kain melahirkan corak menarik, unik dan tersendiri. Namun dia tidak suka corak terlalu sarat, cukup sekadar manik atau batu disulam pada bahagian tertentu baju, mampu mengubah penampilan seseorang.

Himpunan skaf dan tudung berwarna-warni dengan corak ringkas memudahkan Muslimah memadankannya dengan rekaan baju yang dipilih. Kata Fuzidah, memilih warna sedondon kini bukan lagi menjadi trend. Sebaliknya padan sesuai antara warna lembut dan kontras supaya mata tidak jemu memandang. Menyedari kasut turut berperanan dalam membentuk personaliti seseorang, Hannah Gallery mengetengahkan pilihan kasut yang boleh ditempah mengikut selera pelanggan dan boleh diserikan lagi dengan jahitan batu, manik mahu pun lace. Tidak lengkap jika berfesyen tanpa aksesori. Pelbagai hiasan badan disediakan di situ, termasuk yang tidak dapat dizahirkan kepada pandangan umum. Bagi Fuzidah tidak semua kecantikan untuk dipamerkan. Apa salahnya jika mengenakan aksesori ketika di rumah untuk kepuasan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: