Sunday, October 9, 2011

Jojo pusing satu Malaysia




PASTI ramai ketika ini sedang tercari-cari lokasi sesuai untuk menghabiskan cuti penghujung tahun. Bagi si manis yang menghiasi ruangan Citra Wanita minggu ini, Juliana Zakaria, dia sedang berkira-kira untuk pusing satu Malaysia.

“Saya mempunyai ramai rakan yang terlibat dengan fotografi. Mungkin kami habiskan masa bersama di tempat menarik seluruh negara sambil merakamkan kenangan terindah,” kata lulusan Diploma Perniagaan Teknologi Maklumat dari sebuah kolej itu.

Mesra dipanggil Jojo, impiannya ingin memiliki studio fotografi sendiri suatu hari nanti. Walaupun masih mempelajari selok belok bidang itu, namun dia yakin mampu menguruskannya. Tambahan pula teman lelakinya meminati perkara yang sama.

Selain itu, minatnya dalam bidang modelling juga banyak membantu untuk mendapatkan hasil terbaik. Bercerita mengenai penglibatan sebagai model katanya, ia datang secara spontan selepas seorang jurukamera profesional melihat gambarnya bersama teman-teman.

“Tak sangka dia minat dengan gambar saya dan mengajak untuk menghasilkan gambar profail. Selepas gambar itu terhasil, saya terus mendapat tawaran daripada pelbagai pihak,” kata anak kacukan Melayu-Thailand ini.

Namun begitu, sebagai seorang model Jojo sebolehnya tidak mahu berpakaian terlalu menjolok mata. Katanya, seksi itu tidak mengapa asalkan tidak keterlaluan.

Jojo yang gemar menyanyi juga mendapat tawaran dalam bidang lakonan namun katanya, itu buka minat utamanya. Jelasnya, dia tidak mahu terjun ke dunia hiburan, cukup sekadar dalam bidang peragaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: