TUMPAT - 14 koc kelas kedua dari Jepun yang akan digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) bagi perjalanan dari Tumpat ke Singapura akan mula beroperasi pada awal tahun depan.
Presiden KTMB, Dr. Aminudin Adnan berkata, koc yang dikenali sebagai Blue Coach itu mampu memuatkan 314 penumpang dalam satu-satu masa dan kadar tambangnya adalah di antara RM40 sehingga RM120 seorang.
Menurutnya, buat masa ini, KTMB menerima 300,000 penumpang bagi destinasi perjalanan tersebut setiap tahun dan melalui penambahan 14 koc dari Jepun ini akan menambah sehingga 185,000 penumpang setahun selepas ini.
"Tambahan Blue Coach ini bagi koc sedia ada dijangka dapat memenuhi keperluan permintaan daripada penduduk termasuk pelancong," katanya selepas majlis prapelancaran Blue Coach di Stesen Wakaf Bharu di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah wakil dari Jepun iaitu Setiausaha Pertama Pengangkutan dan Pelancongan, Dr. Hiroki Yajima, Jurutera dan Penyelenggara Koc, JICA Corporation Arai Sadao dan Pengarah Pelancongan Kelantan, Zurina Abdul Samad.
Aminudin menjelaskan, pihaknya juga optimis untuk mencatat pertambahan sebanyak lima peratus dalam keuntungannya kepada RM5.2 juta setahun hasil penggunaan Blue Coach ini bermula tahun depan.
Dua buah syarikat perkhidmatan kereta api menyumbang koc berkenaan kepada KTMB ialah Kyushu Railway Company dan West Japan Railways Company masing-masing sebanyak lapan dan enam koc.
Aminudin menjelaskan, KTMB telah memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta bagi membawa koc yang telah berusia 30 tahun itu ke Malaysia termasuk kos pengubahsuaian pada bahagian roda dan kabin koc seiring dengan standard pengangkutan di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: