SHAH ALAM – Pertandingan Battle BEST of the Band di Karnival Buat Elok Saja Tau (BEST) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari 28 hingga 30 Oktober ini bertujuan memupuk semangat cintakan Allah di kalangan golongan muda.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nasheed Edutainment Sdn. Bhd., Ahmad Zuwairi Che Ramly, (gambar) matlamat itu mampu dicapai melalui lagu berkonsep ketuhanan dan positif yang diwajibkan kepada peserta.
“Setiap peserta bebas untuk memilih genre lagu yang bakal dipertandingkan dan mereka juga boleh menggubah lagu sendiri mengikut daya kreativiti masing-masing.
“Apa yang paling penting adalah lirik lagu berkenaan harus menerapkan nilai-nilai positif berlandaskan ajaran Islam iaitu amar makruf nahi mungkar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
|
|
Karnival selama tiga hari yang bertempat di Laman 1Malaysia, Putrajaya itu turut dimeriahkan dengan pelbagai lagi aktiviti seperti pertandingan Juara Nasyid BEST, senamrobik BEST, pertandingan mewarna dan forum perdana.
Mengulas lanjut, jelas Ahmad Zuwairi, pihaknya selaku penganjur bersama karnival itu pernah menganjurkan pertandingan serupa di Shah Alam dan Klang sebelum ini dan mendapat sambutan amat menggalakkan.
Menurutnya, ia disebabkan oleh jadual pertandingan yang dibuat khusus untuk kegunaan umat Islam di negara ini yang perlu menunaikan solat lima waktu.
“Apabila tiba waktu solat, kita hentikan dulu pertandingan itu dan kita tunaikan solat.
“Dengan itu tidak akan wujud lagi tanggapan bahawa pertandingan seperti itu melalaikan kerana ia masih boleh dilaksanakan tanpa mengabaikan tuntutan agama,” ujarnya lagi.
Orang ramai yang ingin menyertai pertandingan ini boleh memuat turun borang pendaftaran di laman www.nasyeed.com dan yuran kemasukan sebanyak RM50.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: