SIAPA sangka Rozita dan Adam (bukan nama sebenar) yang dikenali sebagai pasangan dua sejoli semenjak di kampus akhirnya bercerai pada ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.
Silapnya ialahRozita terlambat pulang ke rumah. Adam sudah lama menunggu untuk makan malam di sebuah restoran yang telah siap ditempah beberapa hari sebelum itu bagi meraikan hari bahagia mereka.
Adam yang sememangnya panas baran, langsung tidak dapat mengawal kemarahan sehingga terus menjatuhkan talak ke atas isterinya.
Semenjak itu, Adam bagaikan gila talak di mana saban hari dia akan menganggu kehidupan Rozita yang masih lagi dalam idah.
Paling tidak boleh dilupa, suatu malam ketika sedang tidur Rozita merasa seperti ada lembaga yang sedang cuba mencumbuinya.
Dia yang terkejut lantas menolak lembaga itu lalu bingkas bangun dari katil dan ketika membuka lampu dia melihat lembaga itu adalah bekas suaminya, Adam.
Adam merayu-rayu supaya mereka berbalik semua tetapi Rozita yang masih dalam terkejut dan ketakutan terus berlari keluar dari rumah.
Bagaimanapun Adam yang ingin menyambung kembali ikatannya dengan Rozita akhirnya membawa hal itu ke mahkamah untuk diselesaikan.
Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad sememangnya mempunyai banyak kes yang berkaitan dengan isu rujuk yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.
Kes Adam dan Rozita merupakan salah satu kes yang telah difailkan, di mana plaintif dan defendan telah pun bercerai talak satu pada tahun yang sama di mahkamah ini.
Berdasarkan fakta kes, Adam telah memohon pengesahan rujuk terhadap lafaz berbunyi 'Rozita (bukan nama sebenar) saya rujuk awak' telah dilafazkan kepada Rozita ketika masih dalam idah.
Plaintif pula tidak ingat tarikh dia melafaz perkataan itu dan cuma tahu ia berlaku pada waktu pagi di rumahnya.
Bagaimanapun plaintif dan defendan bersetuju lafaz itu telah disebut semasa tempoh idah defendan.
Defendan pula mempertikaikan lafaz plaintif kerana dia hanya mendengar plaintif menyebut 'kita berbaik semula' dan bukannya lafaz 'Rozita saya rujuk awak'.
Dalam soal balas, defendan mengakui plaintif menyebutnya dalam keadaan sedar dan waras namun dia tidak bertanya plaintif apa maksud perkataan itu.
Berdasarkan keterangan defendan, sama ada rujuk itu sah ataupun tidak isunya dia tidak bersetuju merujuk semula (hidup semula sebagai suami isteri) dengan plaintif.
Sementara itu dalam alasan penghakiman, Wan Mahyuddin berkata, perkara rujuk ini diharuskan dalam hukum syarak di mana suami boleh merujuk isteri dalam tempoh idah rajie.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 228 yang bermaksud: "Dan suami-suami mereka adalah lebih berhak untuk mengembalikan (rujuk) mereka (isteri-isteri yang dicerai itu) kepada mereka pada waktu sedang dalam idah jika ingin berbaik."
Oleh itu adalah sunat bagi suami melakukan rujuk apabila ia bermaksud untuk islah, bergaul dengan baik dan menghindari tingkah laku yang menyakiti isterinya.
Jika rujuk itu akan memudaratkan isteri maka perbuatan itu adalah haram seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud; "Janganlah kamu rujuk kepada mereka untuk menyakiti (menyusahkan) mereka, dengan itu kamu akan melanggar ketentuan Allah terhadap wanita. Dan sesiapa yang melakukan demikian itu maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.''
Berdasarkan kepada dalil di atas maka dapat difahami dalam ketetapan syarak bahawa rujuk adalah hak suami secara eksklusif selagi mana perempuan (isteri) yang dicerai dengan talak rajie itu masih dalam tempoh idah talak rajie.
Oleh itu apabila rujuk merupakan hak suami maka tidak disyaratkan bagi sah rujuk mendapat kebenaran atau keredaan isteri dan pengetahuannya bahkan tidak berhajat kepada persetujuan wali, kerana Allah memberi hak ini kepada suami.
Sungguhpun demikian adalah sunat diberitahu kepada pihak isteri bahawa ia (suami) telah merujuknya agar isterinya tidak berkahwin dengan orang lain selepas selesai idah nanti dan supaya tidak berlaku perbalahan dan pertikaian.
Jika berlaku lagi masalah selepas rujuk maka pihak isteri masih boleh berpisah dengan suami melalui penceraian bagi kali yang kedua atau dengan permohonan fasakh ataupun taklik.
Rujuk juga tidak boleh dibuat secara bergurau berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Tiga perkara yang sungguhnya tetap sungguh, bergurau main pun dikira sungguh iaitu berkahwin, talak dan rujuk."
Di dalam kes ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa suami berhak merujuk defendan dalam tempoh idah.
Pihak defendan juga bersetuju plaintif pernah melafazkan "kita berbaik semula'' dalam tempoh idah.
Walau bagaimanapun berlaku pertikaian dari segi lafaz kerana plaintif mendakwa lafaz sebenar rujuk ialah lafaz soreh iaitu 'Rozita saya rujuk awak' manakala defendan pula mendakwa lafaz plaintif merujuknya adalah lafaz kinayah berbunyi 'kita berbaik semula'.
Sebab itulah timbulnya kekeliruan kepada pihak defendan sama ada lafaz 'kita berbaik semula' bermaksud rujuk ataupun tidak.
Wan Mahyuddin dalam keputusannya mengesahkan dan mensabitkan telah berlakunya rujuk di antara plaintif dan defendan di dalam tempoh idah.
Mahkamah memerintahkan rujuk cerai kali pertama ini hendaklah dibuat permohonan segera ke Pejabat Agama Islam untuk didaftarkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: