Tuesday, October 4, 2011

Taja (MUH) hadiah lagu buat isteri

Hadiah perkahwinan kepada si isteri yang baru dikahwini sering kali dilihat untuk memberi kepuasan kepadanya agar hadiah itu menjadi sesuatu yang sangat bernilai buatnya dan semestinya si penerima akan terus menghargainya selagi mereka bersama.

Ada orang dapat banglo, kereta mewah, jam berjenama mewah dan sebagainya. Tapi Taja, ketua kumpulan Meet Uncle Hussein menghadiahkan sebuah lagu berjudul Kau Rembulan kepada isterinya yang juga pengurus kumpulan itu Kimmy.

Saling melengkapi...

"Saya mencipta lagu ini minggu lepas dan saya sudah rakamkannya menggunakan suara saya sendiri," kata Taja semasa ditemui pada majlis persandingan mereka di Bangsar, Kuala Lumpur Ahad lalu (2 Oktober).

Dia tak ada perancangan untuk memasarkan lagu itu, walaupun ia sebuah lagu yang sudah sempurna, sedap didengar dan ada nilai komersil. Lirik lagu tersebut yang ditulisnya menggambarkan rentetan hubungan mereka. Malah bait-bait lirik juga memuatkan antara perbualan mereka selama ini.

"Lagu ini dihadiahkan kepada saya... ikut sayalah nak buat apa pun kan? Saya ni fikirkan bisnes," celah Kimmy yang membayangkan dia akan memasarkan lagu yang pertama kali diperdengarkan pada majlis persandingannya itu.

Tambah Kimmy, dia sudah tahu Taja merakam lagu tersebut semasa ke studio rakaman untuk urusan lain. Dia terdengar lagu itu diputarkan semasa Taja sedang tertidur. Tapi pada masa itu ia belum siap sepenuhnya.

"Saya menghadiahkan lagu ini kerana saya tahu inilah hadiah yang dia tidak boleh buang. Saya kenal sangat isteri saya ni.. kalau saya belikan barang kemas mahal pun kalau tidak berkenan padanya dia tak akan pakai, jadi saya kena pilih hadiah yang dia suka," jelas Taja.

Mereka bernikah Sabtu lalu di rumah keluarga Kimmy atau nama sebenarnya Nafisah Mohamat Yusof Khir, 28, di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Taja atau nama sebenarnya Nik Mustaza Nik Mustapha, 32, bertunang dengan Kimmy pada 26 Jun 2009.

Pada majlis itu, Kimmy menerima mas kahwin berupa seutas rantai emas dan sembilan dulang hantaran termasuk
wang hantaran RM10,000, kamera digital, set alat solek, haruman Vera Wang, IPad 2, cincin berlian Lumiere, al-Quran, buah-buahan, coklat dan beg tangan.

Sementara Taja menerima tujuh dulang hantaran berupa set permainan PS3, kamera, haruman Polo, al-Quran, jam tangan dan sirih junjung. Kesemua hantaran digubah oleh Adi Putera Ahmad dari Dputera merangkap perunding perkahwinan.

Menurut Taja, dia akan membawa isterinya berbulan madu di pulau peranginan dalam Malaysia dalam masa terdekat sebelum dijangka ke Bali, Indonesia Februari depan untuk menyaksikan konsert U2.

Mereka bersanding di Dewan Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar. Majlis sebelah keluarga Taja akan diadakan Nilai Impian, Negeri Sembilan pada 8 Oktober ini.

Taja menganggap Kimmy sebagai seorang wanita yang bijak merancang pengurusan perniagaan dan kewangan, selain datang daripada keluarga yang baik dan tegas dalam membuat keputusan.

"Saya gembira kerana segala yang dirancang menjadi kenyataan, dan tempoh pertunangan yang mengambil masa dua tahun lebih cukup untuk saya mengenali isteri saya sehinggalah saya mengambil keputusan untuk
melamarnya sebagai suri hidup saya," kata Taja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: