Tidak sukar mengatur temu janji bersama selebriti ini. Biarpun tumpuannya kini lebih kepada alam rumah tangga, namun Nurul Hana Mahazan,28 atau lebih dikenali sebagai Nana Hot FM ini masih mempunyai kelapangan untuk hadir di sesi fotografi bersama ZASS.
Ketika itu, jelas terpancar kebahagiaan di wajahnya. Sekali gus menunjukkan Nana sememangnya sedang bahagia menikmati perkahwinan bersama suami tercinta, Muhammad Raqeem Brian,37.
Bagaimanapun, setelah seminggu sesi fotografi itu, timbul khabar angin yang mengatakan rumah tangganya kini sedang bergolak. Bagi mendapat kepastian, ZASS, menghubungi Nana untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya.
Nana, yang baru sahaja meraikan ulang tahun pertama kelahiran anaknya, Althea, nyata terkejut mendengar mengenai perkara itu.
“Saya ada dengar isu ni. Pada saya ia agak melampau. Demi Allah cerita itu fitnah semata-mata. Tidak pernah terdetik sekalipun di hati kami hendak bercerai. Lagipun macam mana nak bercerai, kami ni bergaduh pun susah.
"Apa yang saya tahu, kononnya ada seorang kaunselor mengaku ada mempunyai senarai artis bercerai dan saya salah seorang dalam senarai itu. Saya tak faham, apa tujuannya buat macam tu. Namun yang pasti berita itu membuatkan keluarga saya benar-benar terkejut, sebab kami memang tak ada masalah," katanya yang mengakui bahagia bersama suaminya sehingga ke hari ini.
Nana berkata, dia bersyukur kerana memiliki suami sangat memahami seperti Brian. Walaupun usia perkenalan mereka tidak mengambil masa lama, namun keikhlasan Brian membuka hatinya untuk menerima jejaka itu sebagai suaminya.
“Alhamdulillah, hubungan kami sampai ke jinjang pelamin. Kami sebenarnya pasangan yang sempoi dan gila-gila. Jadi, bila dia kata nak kahwin, saya pun tanya serius ke? Kemudian saya fikir masa tu sudah sampai masa dia mendirikan rumah tangga memandangkan usianya jauh lebih tua daripada saya.
“Setelah berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Brian dan keputusan saya memang tidak silap kerana saya bertuah mempunyai suami yang baik sepertinya. Dia juga seorang penyayang dan selalu memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga terutamanya anak kam,” katanya sambil tersenyum.
Tidak suka bergaduh
Peribahasa, 'sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri', mungkin tidak sesuai ditujukan buat bekas penyampai Era Fm ini. Menurut Nana, dia dan suaminya bukanlah pasangan yang mudah bergaduh. Bahkan untuk bertikam lidah sekali pun.
Jelas Nana, mereka saling menjaga hati dan sering berkomunikasi. “Kami memang tak pernah bergaduh. Kalau ada apa-apa yang tak kena kami akan berbincang. Biasanya, dia terima apa yang saya katakan dan saya juga begitu.
"Memang senang bersama Brian dan saya juga tidak mahu menyakitinya,” katanya.
Menurut Nana, Brian juga bukanlah suami yang cerewet dan senang mengurusnya.
"Kalau bab makan, memang senang. Sebab dia tak makan nasi macam kita. Dia banyak makan sayur dan buah. Kalau nak masak pun, saya hanya sediakan makanan ala barat seperti spageti dan roti sandwic.
“Secara tak langsung, saya pun ikut cara dia, ”katanya yang masih kekal menawan.
Berkorban demi anak
Dikurniakan anak pertama, Althea, yang kini berusia setahun, Nana akui kehadiran Althea melengkapkan perkahwinan yang dibina.
Berkongsi pengalaman bergelar ibu, Nana berkata, melihat puterinya membesar adalah momen indah buatnya. Malah demi puteri tercinta itu juga, Nana, sanggup membatasi karier seninya.
“Sebelum ini saya bekerja sepenuh masa di Hot FM, tetapi sekarang saya hanya buat kerja separuh masa. Itu pun sekadar mengisi masa di hujung minggu selagi pihak Hot FM memerlukan perkhidmatan saya.
“Keputusan itu tidak pernah di bantah Brian, malah dia sering �menyokong apa saja keputusan saya," katanya,
Jelas Nana, bukannya dia sudah hilang minat terhadap dunia seni, tetapi itulah pengorbanannya untuk anak dan rumah tangganya.
"Saya buat semua ni kerana Althea. Dia masih kecil dan perlukan perhatian. Biarlah dia besar dulu, barulah saya kembali aktif.
"Tapi buat masa ni, saya masih menerima tawaran mengacara," katanya.
Ditemani ibunya, Rosnah Harun,50, ketika sesi fotografi ini berlangsung, menjadi kesempatan untuk ZASS mengenali keperibadian Nana daripada keluarganya sendiri. Menurut ibunya, Nana merupakan anak yang sangat baik.
“Walaupun ada kalanya dia agak keras kepala, tetapi dia sangat baik. Saya bersyukur kerana dia tidak pernah memberikan masalah kepada keluarga. Bahkan sepanjang bergelar selebriti.
“Pada mulanya kami bimbang dia masuk ke bidang ini, tetapi selagi tidak menjejaskan maruah keluarga, kami akan menerimanya,” katanya yang turut gembira dengan kebahagiaan Nana sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: