Friday, October 21, 2011

Anugerah Skrin 2011 bertemakan Golden Glamour

BAHANG Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) sudah mula dirasai. Bakal berlangsung 4 November ini, menerusi TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ASK 2011 tampil dengan konsep segar iaitu ‘golden glamour’.

Seperti mana yang diketahui umum, penganjuran ASK adalah bertujuan untuk mengiktiraf karya anak tempatan yang telah bertungkus lumus menghasilkan drama serta filem sepanjang tahun lalu.

Setiap tahun, ASK akan menjadi tumpuan peminat dan pemerhati dunia hiburan tanah air yang ternanti-nantikan siapakah yang bakal dijulang dengan gelaran terbaik yang menjadi dambaan setiap anak seni yang bergiat cemerlang pada setiap tahun.

Mempertaruhkan pengacara popular, Ally Iskandar untuk mengemudi majlis berprestij ini, ASK2011 juga turut mengundang pelakon popular, Rozita Che Wan sebagai pengacara bersama pada malam itu nanti.

Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad, pihak penganjur turut menjemput stesen televisyen RTM dan ASTRO untuk turut sama menyertai anugerah berprestij ini.

ASK2011 bakal mempertandingkan 23 kategori meliputi drama. Filem dan penerbitan dalaman serta dua anugerah khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene.

Daripada 23 kategori yang dipertandingkan, 10 daripadanya adalah daripada kategori drama, tujuh daripada filem dan enam lagi daripada kategori penerbitan dalaman.

Untuk kategori drama, 17 buah drama, 10 drama rantaian, dan tujuh drama komedi telah dicalonkan, manakala untuk kategori filem pula 29 buah filem layak untuk dipertandingkan untuk ASK 2011 ini.

Antara drama yang layak bertanding adalah seperti Berkalung Noda, Airmata Nur Salina, Korban Kasih Abah, Jangan Hantar Aku Ke Neraka, Sanggul Beracun dan Janji Syurga.

Manakala untuk filem pula, antara yang tercalon adalah seperti Mantra, magika, Estet, Hantu Kak Limah Balik Rumah, KL Gangster, Kongsi, Nur Kasih The Movie dan Sekali Lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: