KEWUJUDAN Masjid At-Taqwa yang baru berusia tiga bulan di Kampung Paya Lebar Masjid Tanah, Melaka ternyata membawa rahmat kepada ahli kariahnya.
Dalam usaha mengimarahkan masjid, Ahli Jawatankuasa Masjid At-Taqwa, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) Paya Lebar bersama-sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar mengadakan program yang mendekatkan golongan kanak-kanak ke masjid iaitu Rahmat Masjid.
Menurut Imam 1 Masjid at-Taqwa, Zainudin Alias, dalam al-Quran dan hadis banyak menjelaskan tentang kepentingan dan peranan masjid.
Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba') sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang yang ingin membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang yang bersih. (at-Taubah: 108)
Begitu juga daripada Abu Darda', dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Masjid adalah rumah setiap orang yang bertakwa. Dan Allah menjamin dengan roh, rahmat dan kelancaran perjalanannya menuju reda Allah, menuju syurga, bagi orang yang menjadikan masjid rumahnya". (riwayat Tabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Ausath).
Kata beliau, situasi itu memberi gambaran betapa bertuah andai kita dapat menanamkan semangat cintakan masjid pada usia kanak-kanak lagi.
"Dengan penerangan yang tepat dan penuh hikmah saya percaya program Rahmat Masjid mampu memberi suntikan dan semangat untuk kanak-kanak berjemaah di masjid," katanya.
Sementara itu, Penyelaras program, Norazima Mohamad berkata, program yang dikhaskan untuk murid tahun 6 itu merupakan salah satu aktiviti selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Tujuannya memberi kefahaman kepada murid berhubung kelebihan mereka berkunjung atau berjemaah di masjid.
"Sepanjang program yang disertai oleh 50 murid dan 10 guru, peserta didedahkan dengan adab-adab di dalam masjid, kelebihan masjid, cara beriktikaf, solat tahiyatul masjid dan gotong-royong membersihkan kawasan dalam masjid seperti lantai, kipas dan stor," katanya yang juga guru Bimbingan SK Ramuan China Besar.
Turut hadir Penghulu DUN Ayer Limau, Baharuddin Rashid; Pengerusi JKKK Kampung Paya Lebar, Yaaman Yusof dan Guru Besar SK Ramuan China Besar, Pouziah Ghani.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid At-Taqwa, Kasim Bedai mengalu-alukan program sedemikian tambahan pula masjid itu baru dibina.
"Saya juga mengalu-alukan sumbangan wang ringgit atau peralatan yang sesuai seperti rehal, penyedut hampagas dan sebagainya untuk kegunaan masjid," katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi Setiausaha masjid, Abdul Gahni Hashim di talian 017-8899575.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: