Friday, October 21, 2011

Anis Food jenama lokal kian dikenali

Siapa sangka perniagaan kek coklat yang dihasilkan secara kecil-kecilan di rumah sejak Ogos 2006 kini semakin berkembang dan dikenali sekitar Lembah Klang dan di negeri-negeri lain.

Anis Food, perniagaan usaha sama pasangan suami isteri, Junaidy Abu Bakar dan Sophiahanis Md Hanipah, yang mula ditubuhkan pada Oktober 2009, kini mampu membuka sebuah kilang dan bilik pameran di Shah Alam.

Junaidy yang berkelulusan Ijazah Sains Sosial berkata, pasaran produk kek coklat di bawah jenama Anis Choc Moist Cake dan tat nanasnya buat masa ini lebih tertumpu di kawasan Lembah Klang biarpun permintaan terhadapnya semakin meningkat.

“Pada mulanya, kami hanya menjual Anis Choc Moist Cake secara kecil-kecilan dengan menghantar ke stesen minyak, kedai dan restoran sekitar Lembah Klang. Kek coklat kami dikenali kerana keknya yang gebu dan coklat cairnya yang lazat dan berkualiti, selain diletakkan dalam :bekas yang mudah untuk dinikmati serta-merta.

“Melihat sambutan diberikan, kami mula membuka kilang kecil di Shah Alam pada Mei tahun lalu, dengan jualan 100 bekas sehari hasil bantuan dua pekerja,” katanya yang kini mencapai jualan lebih RM150,000 sebulan.

Junaidy berkata, selain terkenal dalam kalangan pelanggan dari Lembah Klang, pihaknya turut menerima permintaan dari negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

Lantaran sambutan diberikan cukup baik, Junaidy dan isteri membuka bilik pameran pada awal Oktober lalu, bagi memudahkan pelanggan dan pengedarnya mendapatkan stok terus daripada kilang.

“Bilik pameran ini berfungsi sebagai pusat pengedaran produk dan turut dijadikan pejabat syarikat.

“Selain itu, kami turut bercadang menjadikannya sebagai pusat perniagaan untuk pelancong yang ingin mendapatkan cenderahati,” katanya yang berhasrat ingin berbincang dengan pihak Kementerian Pelancongan bagi merealisasikan impian tersebut.

Bagi mengembangkan lagi perniagaan, Anis Food merangka strategi dengan melantik wakil pengedar melalui Program Bisnes Tanpa Modal yang dijangka dapat membantu golongan pelajar, suri rumah dan golongan bekerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: