Saturday, October 8, 2011

Pot perkenal jazz ketuhanan


PENYANYI dan komposer ini menganggap nama Innuendo hanya tinggal kenangan di mana dia kini mahu membuka lembaran baru dalam bidang muzik yang diceburinya.


TAHUN 2005 menyaksikan anggota kumpulan acapella terkenal tanah air, Innuendo berpecah selepas lebih 10 tahun mereka bersama. Sejak saat itu, setiap anggota kumpulannya termasuk Pot Amir membawa haluan masing-masing.

Sungguhpun Innuendo telah berpecah tetapi itu tidak bermakna perjalanan muzik Pot atau Saiful Amir Abd. Wahab telah berakhir. Sebaliknya, dia tetap meneruskan perjuangannya dalam dunia muzik dengan tanggungjawab lebih besar.

Penyanyi berusia 40 tahun itu kini bukan setakat meneruskan minat dan kerjayanya sebagai penyanyi, tetapi turut berdakwah menerusi genre muzik yang lebih terkini. Pot antara lain cuba mengetengahkan irama moden termasuklah sentuhan irama jazz dalam lagu-lagu terbaru nyanyiannya.

Alkaline Jazz merupakan album singlenya yang terbaru mengandungi lima buah lagu termasuklah yang berjudul Keroncong Hybrid Untuk Bidadari.

Menurut Pot yang juga seorang komposer, dia cuba mengetengahkan genre muzik yang lebih moden dalam menyampaikan lirik lagu yang bertemakan ketuhanan dalam album single tersebut.

"Dalam lagu Keroncong Hybrid Untuk Bidadari itu, antara genre muzik yang ditampilkan adalah jazz dan pop. Saya gunakan pendekatan itu bagi menarik perhatian para pendengar dengan lagu-lagu yang lebih bersifat global.

"Ini adalah antara pendekatan saya selepas Innuendo dibubarkan enam tahun lalu. Saya kini bukan setakat menyanyi, tetapi pada masa sama, saya juga mahu berdakwah menerusi lagu," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bapa kepada Iman Puteri, 11 tahun dan Hana Maya, setahun menganggap pembubaran Innuendo ada hikmahnya kerana daripada situlah dia mula mengorak langkah dalam hala tuju perjalanan muziknya kini yang lebih jelas berwawasan.

Katanya, sewaktu bersama kumpulan vokal berharmoni itu dulu, lirik lagu-lagu nyanyian mereka tidak menjurus kepada elemen ketuhanan, sebaliknya lebih kepada lagu-lagu cinta untuk golongan muda-mudi.

"Biasalah, tidak banyak kumpulan yang mampu bertahan kerana lama kelamaan ia akan berpecah juga. Selepas Innuendo berpecah pada 2005, saya menubuhkan kumpulan Radio Star dan Rosin tetapi sekarang ini, baru saya jumpa arah muzik yang sebenar.

"Sekarang ini, matlamat saya adalah untuk membesar-besarkan Nabi Muhammad SAW dan apa juga yang ada kaitan dengan ketuhanan dalam lirik-lirik lagu ciptaan dan nyanyian saya," ujarnya.

Bukan setakat lagu seperti Keroncong Hybrid Untuk Bidadari, Pot juga akan berkolaborasi antaranya dengan Ameer iaitu bekas anggota Ruffedge dan Lah (VE) dalam empat lagu berjudul Tholama Asyku, Selamat Kiyam, Ingin Bersamamu dan Cahaya Seluruh Alam.

Pot yang kini aktif mencipta dan merakamkan lagu menerusi syarikat rakamannya, Makmal Pelangi berasa puas dan tenang dengan pendekatan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan yang dihasilkannya itu.

"Kalau boleh saya mahu menjadikan muzik atau lagu yang saya hasilkan tidak melanggar hukum syarak. Selain itu, saya amat menekankan apa juga elemen yang boleh meningkatkan lagi syiar Islam untuk halwa telinga para peminat.

"Selain menyanyi solo, saya juga berkolaborasi dengan Ameer Ruffedge, Lah VE dan beberapa orang lagi anggota dalam kumpulan baru yang kami tubuhkan yang dikenali sebagai Al-Mawlid. Fokus lagu-lagu kami adalah untuk membesarkan Nabi Muhammad SAW termasuklah berselawat ke atas baginda," jelasnya.

Justeru, Pot yang sebelum ini lebih cenderung kepada irama R&B secara berharmoni bersama Innuendo berharap, pendekatan lagu-lagu bertemakan ketuhanan yang ditonjolkannya itu mampu memberi manfaat kepada para pendengar.

"Ini adalah salah satu sumbangan atau dakwah saya dalam menyeru masyarakat ke arah agama Islam. Salah satu caranya ialah menerusi muzik dan lagu-lagu yang bersesuaian dengan ajaran agama kita. Biarlah sesebuah lagu itu boleh memberi manfaat kepada pendengar," tuturnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: