Wednesday, October 5, 2011

Guna teknologi hijau bakar sisa klinikal



Sri Veeran Engineering Works Sdn Bhd berhasrat membina kilang rawatan pemprosesan sisa klinikal bernilai RM20 juta di Negeri Sembilan menjelang Januari tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr K Ramachandran berkata, kilang yang dijangka siap dibina pada Jun 2012 itu menggunakan teknologi hijau untuk pembakaran sisa klinikal dengan jangkaan kemampuan memproses 24 tan sehari.

Menurutnya, syarikat mengenal pasti tapak untuk membina kilang tersebut, namun masih dalam proses menunggu kelulusan kerajaan.

“Kilang pembakaran sisa klinikal ini menggunakan teknologi hijau dan pembinaan pertamanya di Negeri Sembilan meliputi kawasan wilayah tengah, termasuklah Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Melaka; dan Pahang.

“Sekiranya tiada apa-apa halangan, kilang ini akan memulakan pembinaan pada Januari sehingga Jun tahun depan dan dijangka beroperasi sekitar Julai 2012,” katanya semasa sidang media majlis menandatangani perjanjian antara Sri Veeran Engineering Works Sdn Bhd dan Tesco Co Ltd di Rawang.

Hadir sama, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Co Ltd, Kyuji Takahashi dan Pengarah Urusan Taisei TEC Sdn Bhd, Ryota Suzuki.

Ramachandran berkata, pihaknya percaya keupayaan Tesco Co Ltd yang berpengalaman selama 40 tahun di Jepun dalam rawatan pemprosesan sisa klinikal dengan menggunakan teknologi hijau.

Menurutnya, usaha sama itu melibatkan kontrak rekaan; pembinaan; pembiayaan; operasi; dan penyenggaraan kilang rawatan pemprosesan sisa klinikal di Negeri Sembilan.

“Sekiranya pembinaan kilang di Negeri Sembilan berjaya, kami berhasrat menambah satu lagi kilang di Zon Timur dan di Selatan Semenanjung Malaysia.

:“Dua kilang ini akan mula dibina tiga tahun selepas kilang di Negeri Sembilan beroperasi,” katanya.

Menurutnya, kilang rawatan pemprosesan itu selamat daripada pencemaran dan akan dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: