Saturday, August 20, 2011

Waheeda selesa di belakang tabir


GAYA dan penampilan Waheeda pada tahun 2008 sebelum berpurdah.


APABILA penyanyi dan pelakon Waheeda dikatakanbersara dari bidang seni, ramai peminatnya yang terkejut. Kejutan paling ketara apabila dua tahun kebelakangan ini, penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu muncul di khalayak ramai dengan berpurdah.

Dengan berpurdah dan hanya kelihatan matanya sahaja, para peminat, malah wartawan yang sering menemu bualnya juga kurang mengenali wanita itu.

Adakah penyanyi berusia 33 tahun itu sudah hilang minat pada dunia seni dan mahu melupakan bidang yang pernah diceburinya itu?

Soalan itu dijawab ringkas tetapi penuh makna olehnya yang mula terbabit dalam bidang nyanyian dan lakonan sejak awal tahun 2003.

“Saya masih minat bidang seni tetapi lebih senang di belakang tabir sahaja. Ini kerana suami saya, Akhil Hayy masih merupakan penyanyi walaupun menyanyikan lagu-lagu nasyid,” komennya.

Pada pertemuan di Kajang, Selangor sempena ulang tahun Akhil Network yang pertama itu, Waheeda atau lebih mesra dengan panggilan Wawa tidak banyak bercakap.

Bagaimana pun penyanyi yang pernah popular dengan lagu-lagu genre world music itu begitu sopan berbicara termasuklah sewaktu sesi fotografi bersama S3 diadakan pada malam itu.

Pada majlis yang diadakan selepas berbuka puasa itu, Waheeda yang pada mulanya agak keberatan untuk diambil gambarnya, tetapi dengan ditemani oleh suaminya, dia akur dengan permintaan media massa.

Jelas penyanyi yang pernah menghasilkan tiga buah album berjudul Wassini, Binafsa dan Melodi Alahan, hidupnya kini semakin selesa sebagai suri rumah sepenuh masa.

Dia yang mendirikan rumah tangga dengan Akhil Hayy yang juga seorang penyanyi, pendakwah bebas dan usahawan lebih senang berada di sisi suaminya menjalankan kerja-kerja di belakang tabir.

“Saya tinggal di rumah sahaja. Sesekali ada juga ikut temankan suami berceramah di merata-rata tempat,” ulasnya ringkas apabila diajukan tentang aktiviti sehariannya kebelakangan ini.

Waheeda atau Nor Wahidah Abdul Wahab yang bernikah dengan Akhil pada 16 Ogos 2009 memang banyak berubah sejak kebelakangan ini bukan sahaja daripada segi penampilan imejnya.

Malah, tutur kata dan pergaulan sosialnya juga cukup dibatasinya agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Bekas artis di bawah naungan syarikat MIG Records milik David Teo ini juga seolah-olah mengucapkan selamat tinggal pada bidang lakonan yang pernah diceburinya suatu ketika dulu.

“Cukuplah setakat itu,” ujarnya ringkas sambil ditemani anak tirinya, Siti Nur Maisarah, 14, iaitu anak sulung Akhil hasil perkahwinannya yang terdahulu.

Pendirian bekas selebriti yang dilahirkan pada 23 September 1978 ini cukup tegas kerana dengan imej berpurdah, memang mustahil dia kembali ke pentas lakonan.

Bagaimanapun, dia yang pernah berlakon dalam filem seperti Jutawan Fakir, I Know What You Did Last Raya, Anak Mami dan 7 Perhentian ini jelas tidak menyesal meninggalkan dunia seni yang pernah diceburinya.

Waheeda yang kini juga berkaca mata telah memilih jalan hidupnya sendiri dan berharap ia tidak dijadikan isu dengan penampilan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: