Saturday, August 20, 2011

Gitar sentiasa di sisi Man Kidal


MAN Kidal mendukung cucunya, Mohd. Adam sambil melihat isterinya, Norlaila Yusof membuat tat nanas di kediaman mereka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


GITAR boleh dikatakan sebahagian daripada kehidupan seharian Man Kidal. Ini kerana, sejak berusia 10 tahun lagi anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini sudah mula bermain gitar.

Malah, sejak lebih 27 tahun lalu hingga pada usianya kini mencecah 48 tahun, gitar tidak pernah lekang daripada hidupnya. Pemain gitar adalah kerjayanya sejak dahulu hingga kini.

Menurut pemegang nama penuh Rahman Mahmood ini, minat dan kebolehannya bermain gitar menyebabkannya berada pada kedudukan hari ini. Gitar memang sebati dengan dirinya.

Sambil memetik gitar jenis Fender, salah satu gitar dalam koleksinya, Man berkata, dengan instrumen itulah dia mencipta lagu untuknya sendiri dan penyanyi lain.

“Semasa bermain gitar terutamanya di rumah, ilham banyak datang. Saya gunakannya bukan sahaja untuk mencipta lagu sendiri atau kumpulan Lefthanded semata-mata.

“Sebaliknya, banyak juga lagu ciptaan saya yang saya beri untuk penyanyi lain. Tanpa gitar saya rasa susah untuk bekerja. Tanpa gitar juga siapalah Man Kidal,” katanya.

Pada pertemuan di kediamannya di Kondominium Armanee, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, sebagai pemuzik tetap, masanya banyak dihabiskan di rumah.

Di kediaman dua tingkat yang mempunyai empat bilik tidur itu, disediakan sebuah bilik khas buat gitaris ini berlatih yang menempatkan lima daripada hampir 20 gitar miliknya.

Gitaris yang pernah mendapat jolokan Ritchie Blackmore Malaysia kerana dikatakan menyerupai pemain gitar Deep Purple, banyak menghabiskan masanya di bilik tersebut.

“Banyak ilham timbul dalam bilik ini. Dalam bilik inilah saya bermain gitar dan mencipta lagu. Saya banyak membuat susunan muzik untuk artis-artis baharu termasuklah Firdaus dan Nadeera.

“Dua artis itu bernaung di bawah syarikat rakaman saya, Man Kidal Entertainment Sdn. Bhd. Ini salah satu cara saya mengembangkan kerjaya dalam bidang ini,” ujarnya.

Belum bergelar jutawan, tetapi bapa kepada Mohd. Shefflee, 28; Farah, 27; dan Norshahera, 16, boleh berbangga dengan kejayaannya setakat ini. Dia antara 10 gitaris handalan di negara ini.

Biar pun terkenal dengan petikan gitarnya di pentas persembahan, namun di rumah Man Kidal sama seperti suami, bapa atau datuk lain yang bertanggungjawab dan penyayang.

Selain sentiasa dengan gitar-gitar kesayangannya, gitaris kumpulan Lefthanded ini juga tidak jemu melayan empat cucunya sewaktu bersantai di rumah.

“Cucu-cucu saya memang selalu datang ke rumah saya. Adakalanya isteri saya, Norlaila Yusof, 48, tolong menjaga mereka. Kalau isteri saya sibuk membuat kuih, saya akan menjaga mereka.

“Ini kerana, sejak 18 tahun lalu isteri saya menjual kuih raya Almond London dan tat nanas terutamanya sewaktu musim Hari Raya Aidilfitri. Saya memang rapat dengan cucu-cucu saya.

“Itu adalah antara aktiviti sampingan kami pada masa lapang di rumah. Selain itu, isteri saya paling banyak membantu menguruskan kerjaya saya selama ini,” kata gitaris kidal ini.

Meskipun sudah bergelar datuk kepada empat cucu dan bergelumang dalam bidang muzik hampir 30 tahun, namun kepuasan belum terpancar di wajahnya.

Sebaliknya, Man Kidal yang tidak pernah memotong pendek rambutnya sejak bergelar artis mendapati kariernya dalam bidang muzik semakin sibuk dan mencabar.

“Saya rasa semakin tua usia saya semakin sibuk kerjaya saya. Bagi saya itu adalah cabaran. Pada masa sama menunjukkan rezeki saya dalam bidang ini belum putus-putus lagi.

“Saya bukan sahaja masih mendapat tawaran mengadakan persembahan di Malaysia tetapi juga luar negara. Saya pernah dijemput bermain gitar sehingga ke Australia dan China.

“Beberapa tahun lalu, saya pernah mengadakan persembahan selama tiga bulan di beberapa bandar di Jerman antaranya Frankfurt dan Dusseldorf sambil ditemani isteri saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: