SEMPENA bulan Ramadan dan menunggu ketibaan Syawal, sememangnya ia merupakan bulan berkongsi rezeki bersama insan yang kurang bernasib baik. Dengan itu, kemeriahan Aidilfitri turut sama dirasai walau ada kekurangan dalam hidup dengan sumbangan dan jemputan berbuka puasa bersama selebriti.
Baru-baru ini stesen radio KL FM juga tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama berkongsi kenikmatan Ramadan bersama golongan yang kurang bernasib baik ini dengan mengadakan majlis berbuka puasa dan rakaman program Syoknya Raya @ KL FM dengan kerjasama Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur.
Program Syoknya Raya @ KL FM merupakan salah satu program hiburan raya terbitan KLfm setiap tahun dan kali ini Syoknya Raya @ KL FM menampilkan sembilan artis iaitu Alyah, Yazer, Shila Amzah, Ajai, Awi Rafael, Iqwan, Dewi, Aby Norlela dan Amanda Imani serta persembahan daripada penyampai radio KL FM sendiri.
Pada majlis tersebut juga KL FM turut meraikan seramai 60 orang anak yatim dari Rumah Bakti Nur Syahirah, Cheras dan Rumah Anak-anak Yatim Al-Taqwa dari Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzuan.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian duit raya oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Norhayati Ismail yang disumbangkan oleh Inter Orient Travel and Tours dan Cycus Engineering Sdn. Bhd.
“Selain Syoknya Raya, KL FM turut menyajikan beberapa program menarik lain sepanjang Aidilfitri nanti antaranya Stanza Merdeka-Raya, drama khas Sinar Di Hujung Ramadan, Raya Sakan dan Salam Perantau.
|
|
“Program terbitan Mohd. Ekramie Mohd. Zain @ Paparay ini bakal disiarkan di KL FM pada hari raya pertama jam 9.30 malam. Stesen KL FM yang akan berusia 38 tahun pada 5 November ini, tidak pernah jemu mengatur pelbagai rancangan menarik khususnya sambutan berganda Merdeka dan Hari Raya yang bakal disambut selang sehari,” menurut Pengurus Radio Malaysia KL FM, Normah Abdul Aziz.
Selain itu, dua penyanyi muda yang kian meningkat nama iaitu Shila Amzah dan Awi Rafael yang hadir ke sana turut menyatakan keterujaan mereka dapat berbuka di samping anak-anak yatim.
“Shila banyak dijemput untuk menghadiri undangan berbuka puasa begini dan Shila gembira dapat berbuka di samping berhibur bersama adik-adik ini.
“Berbanding tahun lepas, tahun ini Shila sengaja mengurangkan aktiviti pada bulan puasa kerana ingin memberi konsentrasi kepada aktiviti yang akan dilakukan selepas raya kelak,” ujar Shila yang telah 11 tahun berada di dalam industri.
Sementara itu, bagi Awi pula yang sibuk mempromosikan single terbaharunya, Bila Aku Jatuh Cinta masih sempat lagi memenuhi undangan untuk bersama golongan yang kurang bernasib baik ini.
Ujarnya, sebagai artis baharu, undangan pada bulan Ramadan dipenuhi dengan jemputan dan majlis berbuka puasa dan mengakui dirinya seronok dan teruja menerima jemputan ke majlis seperti ini.
Syoknya Raya turut menampilkan barisan penyampai KL FM seperti Sonic, Zullastree, Julia, Hezry, Mimie, MK, Pool, Nik Aida, Kzie, Aenraen, Leez, Yatt, Imey Marjina dan Salma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: