Saturday, August 20, 2011

Kesungguhan mendalam Emilia Clarke



NAMANYA masih terlalu hijau dalam dunia lakonan jika diukur daripada jumlah produksi lakonannya. Memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2009 menerusi siri televisyen Doctors sebelum setahun kemudian muncul dalam filem untuk siaran TV, Triassic Attack, siapa sangka jelitawan berambut perang bernama Emilia Clarke ini kemudian berjaya merebut salah satu karakter penting siri TV Game of Thrones,

Game of Thrones yang menampilkan lakonan utama aktor British terkenal Sean Bean itu bukan sembarangan siri TV kerana ia merupakan produksi eksklusif untuk siaran HBO yang dihasilkan dengan kos dikatakan mencecah AS$60 juta (RM714 juta) hanya untuk musim pertamanya.

Ketika siri yang diadaptasi daripada siri novel epik fantasi terlaris karya George R. R. Martin, A Song of Ice and Fire itu memulakan tayangan perdananya menerusi HBO di Amerika Syarikat pada 27 April tahun ini, ia telah meraih sambutan dan kritikan memberangsangkan masing-masing daripada penonton dan pengkritik.

Impaknya positif apabila projek untuk musim kedua Game of Thrones telah dimulakan dua hari selepas tayangan perdana musim pertamanya itu.

Justeru, bagaimana Emilia sukses menempatkan dirinya sebagai antara karakter paling menarik dalam Game of Thrones iaitu Daenerys Targaryen, seorang puteri yang hidup dalam buangan bersama abangnya, Viserys tetapi kemudiannya muncul menjadi seorang ratu pahlawan?


JASON MOMOA dan Emilia Clarke diberi peluang melakonkan antara karakter penting Game of Thrones yang merupakan adaptasi novel terlaris karya George R. R. Martin, A Song of Ice and Fire.


Hakikatnya, graduan Drama Centre London ini menghadiri uji bakat Game of Thrones ketika dia masih belajar di situ sebelum pengajiannya tamat pada tahun 2009.

"Tak disangka sama sekali," ungkap Emilia. Tambahnya: "Saya masih belajar di Drama Centre London ketika menghadiri uji bakat untuk Game of Thrones. Dengan sedikit pengalaman (berlakon) di hadapan kamera, saya telah menyertai uji bakat tersebut dan telah berjaya,

Ungkap Emilia lagi, "Jadi, saya masih lagi belum percaya bahawa watak Daenerys itu menjadi kepunyaan saya, ia sesuatu yang amat menakjubkan sekali. Saya berpengalaman (dalam lakonan) sedikit sahaja tetapi minat dan kesungguhan saya mendalam. Saya berasa amat gembira sekali."

Menurut aktres berusia 23 tahun ini, HBO merupakan suatu stesen TV yang sangat dia dihormati dan kagumi sejak pertama kali menonton produksi Band of Brothers.

Diaju persoalan adakah dia berasa tertekan memegang salah satu watak terpenting dalam produksi mega itu, ujar Emilia: "Oleh kerana watak saya begitu istimewa dan menarik, saya dapati bahawa semua yang lain tidak begitu penting lagi. Ini kerana kesemua yang menakutkan (tekanan) itu hilang kerana karakter Daenerys mengambil alih segalanya untuk saya."

Bercerita tentang Daenerys, Emilia menjelaskan karakter itu merupakan seorang puteri yang hidup dalam buangan bersama abangnya dan hubungannya dengan abangnya itu agak aneh.

"Sewaktu remaja, Daenerys seorang yang patuh dan menurut kata abangnya itu. Setelah meningkat matang menjadi wanita, Daenerys berubah menjadi seorang yang istimewa. Setiap cabaran dihadapi dengan tabah, dan dia banyak menghadapi cabaran hebat dalam hidupnya.


BARU berusia 23 tahun, masa depan Emilia dalam bidang lakonan dilihat cerah.


"Pada ketika anda fikir dia telah mengatasi semua cabaran, pada waktu itulah timbul cabaran-cabaran yang baharu. Anda akan fikir dia akan mengalah tetapi tidak. Dia seorang yang tabah yang sentiasa belajar daripada pengalaman hidup untuk menjadi lebih baik.

"Sebagai seorang gadis muda, peluang memegang watak ini amat menakjubkan. Saya berharap ia akan memberi semangat kepada gadis-gadis lain yang menonton siri ini," ujar.

Bahasa Dothraki

Apa yang membuatkan Emilia cukup teruja dengan karakter Daenerys adalah ia sesuatu yang cukup istimewa kerana tidak pernah ada sebarang watak epik seperti Daenerys untuk gadis seperti dirinya.

"Sebagai seorang gadis yang baru sahaja tamat sekolah drama, saya amat berbesar hati untuk memegang watak Daenerys kerana saya juga sedang mengalami perjalanan (kehidupan) yang sama dalam diri saya. Jadi, saya amat gembira sekali dapat memegang watak ini," akuinya.

Paling unik, Game Of Thrones menampilkan karakter-karakter yang saling berkomunikasi menerusi apa yang dikenali sebagai bahasa Dothraki dan karakter Daenerys juga tidak terkecuali perlu bertutur dengan bahasa tersebut.


EMILIA harus berani berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk merealisasikan watak Daenerys Targaryen dengan baik.


Kata Emilia dia tidak terlepas daripada perlu mempelajari bahasa Dothraki itu. "Kami mempunyai seorang pelatih suara, Brennan Gun dan dia begitu bagus sekali. Ini kerana Dothraki adalah bahasa baharu yang belum pernah didengar oleh sesiapa pun. Kalau bahasa Perancis atau Itali, kita boleh mempelajari kosa kata dan tatabahasa.

"Tetapi dengan bahasa Dothraki, ia amat sukar kerana kita tidak faham apa yang disebutkan sama sekali. Mujurlah, akhirnya semua berjalan dengan lancar," jelasnya bersunguh-sungguh.

Namun, Emilia bagaimanapun mengakui dia tidak pula boleh bertutur bahasa tersebut dengan baik. "Saya hanya belajar ayat-ayat yang perlu saya hafal," ujarnya.

Dia dalam pada itu mengakui Daenerys merupakan seorang wanita yang agak kejam dan tahan lasak. Katanya: "Daenerys bertukar menjadi seorang ratu pahlawan seperti yang ditulis dalam siri novel A Song of Ice and Fire . Dia mampu menunggang naga dan hebat di medan perang."

"Saya juga menjalani latihan kick boxing di gim dan amat meminatinya. Saya telah memberitahu jurulatih saya bahawa besar kemungkinan watak saya akan menggunakan senjata. Jadi dia memberi saya latihan sambil menggunakan pedang."

Selain membuat persediaan untuk watak Daenerys dengan latihan fizikal, Emilia tidak melupakan juga persediaan daripada sudut minda. Untuk itu demi dapat menjiwai watak itu dengan sempurna, dia mengakui membaca siri buku A Song of Ice and Fire.

"Sejurus selepas uji bakat, saya telah habis membaca siri pertama buku A Song of Ice and Fire. Ketika penggambaran bermula pula, saya telah habis membaca kesemua lima siri karya buku itu. Kesemua yang saya baca tentang Daenerys adalah dari pandangannya (Daenerys) sendiri. Ia sangat membantu saya kerana saya dapat tahu apa yang sedang difikir, dirasai oleh watak lakonan saya itu. Ia sungguh menakjubkan," ungkapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: