Sunday, August 21, 2011

Tirai buluh & hiasan unik


Kapal kecil sesuai untuk hadiah Hari Bapa.


MENGHIAS kediaman pasti menjadi keutamaan ramai ketika ini untuk menyambut lebaran selain memenuhi kelengkapan persalinan.

Rumah yang cantik bukan sahaja memberi kepuasan kepada pemiliknya, namun turut menyajikan keselesaan kepada pengunjung yang bertandang. Apatah lagi konsep rumah terbuka hari raya semakin diminati. Pastinya ketika ini ramai yang sedang berkira-kira konsep apa yang perlu diterapkan untuk hiasan kediaman pada tahun ini.

Masih tercari hiasan yang sesuai? Home Decor Crafts mungkin boleh membantu. Kepada mereka yang gemar hiasan unik, pusat sehenti kelengkapan rumah ini menjanjikan pelbagai pilihan hiasan dan juga perabot yang menarik pada harga berpatutan.

“Keistimewaan barangan kami terletak pada keunikan yang mungkin sukar ditemui di tempat lain. Kami juga mengimport terus barangan dari kilang di luar negara dan sesetengahnya menggunakan rekaan yang kami minta,” kata Pengurus Jualan, Ahmad Taufik.

Antara yang menarik adalah tirai buluh bercorak yang didatangkan khas dari Vietnam. Menurut Ahmad Taufik, tirai itu telah dipertingkatkan kualiti berbanding yang lama di mana ia menggunakan besi tahan karat menjadikannya tahan lasak dan tidak mudah putus. Harga tikar ini bermula dari RM90 mengikut jenis yang berbeza bergantung kepada kepadatan susunan juntaian buluhnya.

Pihak Home Decor Crafts turut memberi jaminan sepanjang hayat kecuali jika ia diletakkan di kawasan terbuka atau terputus akibat ditarik.

Terdapat 10 corak yang berlainan dan setiap satunya dilukis menggunakan tangan secara eksklusif. Kata Ahmad Taufik ia bersaiz 90 lebar dan 200 sentimeter panjang dan sesuai digunakan untuk sebagai penghadang, pada pintu atau sekadar hiasan.

Selain daripada itu, terdapat juga bidai venetial yang unik dalam pelbagai rekaan memenuhi keperluan kediaman. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bidai digunakan di pejabat, namun trend itu mula menular ke kediaman dengan pilihan yang lebih pelbagai memenuhi cita rasa dekorasi masing-masing.

Replika kapal

Peminat hiasan jenis ini pasti teruja dengan susunan replika kapal kayu yang menghiasi rak utama kedai ini. Menurut Ahmad Taufik, ia diimport dari Vietnam dan berharga dari RM15 untuk sebuah kapal yang kecil.

“Rekaan setiap kapal ini berbeza. Bagi peminatnya, mereka memang arif dengan maksud setiap rekaan. Bagi replika yang besar pula biasanya digunakan sebagai hiasan dalam pejabat atau perniagaan,” katanya.

Mata turut tertancap pada perhiasan zink pelbagai bentuk yang cukup unik dan memiliki nilai eksotik. Katanya, hiasan tersebut didatangkan dalam bentuk warna asal tanpa dicat. Pelanggan katanya boleh menempah warna yang disukai dan juga corak seandainya mereka berminat. Terdapat juga rekaan yang ditampal dengan bunga-bunga mawar bagi memenuhi cita rasa mereka yang gemarkan gaya Inggeris.

Perhiasan kecil daripada batu onyx dan ukiran juga terdapat di situ selain pelbagai jenis terompah kayu yang unik. Menurut Ahmad Taufik, pihaknya sedang mengadakan jualan penghabisan stok hingga 70 peratus bagi sesetengah barangan bagi memberi peluang kepada kemasukan hiasan baru.

Bagi mereka yang berminat dengan perabot lebih besar pula boleh masuk ke ruang simpanan perabot di bahagian belakang. Pelbagai jenis perabot kualiti import yang mengalami sedikit kerosakan dijual pada harga yang berpatutan dan diperbaiki sebelum dihantar kepada pelanggan.

“Biasanya kerosakan itu hanya minimum seperti calar dan sebagainya,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: