Tuesday, August 16, 2011

Tinggal karier demi Ramadan

EJA...sambut Aidilfitri di kediaman keluarganya di Puchong.
EJA...sambut Aidilfitri di kediaman keluarganya di Puchong.

DI kala segelintir artis masih sibuk di lokasi penggambaran pada Ramadan ini, lain pula kisahnya dengan pelakon jelita, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 39. Isteri dan ibu kepada seorang anak itu selesa memilih untuk cuti rehat dan bersama keluarga.

Bagi Eja, sudah memadai selama 11 bulan dalam setahun dia aktif berlakon. Justeru, tempoh sebulan berpuasa ini, adalah wajar untuknya melupakan seketika kesibukan karier dengan memanfaatkan Ramadan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.

  • Foto

    LARIS...Eja muncul dalam enam telefilem istimewa sempena Ramadan dan Aidilfitri.

  • Foto

Katanya, ditambah lagi pahala yang dijanjikan Tuhan pada bulan mulia ini sangat banyak dan berganda. Jadi, rugi jika peluang dan ruang diberikan oleh sang pencipta kepada hamba-Nya dibiarkan begitu saja. Lagi pun, Ramadan hanya muncul sekali setahun.

“Jadi, saya memang tak mahu lupakan tanggungjawab pada Tuhan dan inilah masa untuk kejar semula apa yang sudah tertinggal dulu. Saya mahu melengkapkan diri dengan bekalan akhirat selain meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah.


“Saya selesa masa yang ada ini diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Kalau


di lokasi, solat lima waktu pasti tak terurus. Mekap dan bersiap pun ambil masa lama dan tentunya cukup terikat dengan waktu kerja.

“Justeru, meninggalkan karier buat sementara adalah pilihan saya setiap kali Ramadan. Apapun, sepanjang 15 tahun dalam karier lakonan hanya satu atau dua kali saja saya terpaksa ada di lokasi. Itu pun kerana penggambaran dibuat sebelum Ramadan.

“Namun, menerima tawaran berlakon dalam bulan Ramadan tidak sama sekali. Biarpun, ada tawaran diberikan tetapi saya akan menolak secara baik bersandarkan alasan tersendiri. Setakat ini, syukur pihak produksi ditolak itu memahami,” katanya.

Bersua dengan Eja pada majlis berbuka puasa Go Cell International Sdn Bhd yang menampilkannya sebagai duta produk syarikat itu Jumaat lalu, dramatis mendapat jolokan ‘ratu bulu mata palsu’ ini kelihatan anggun menawan dengan imej bertudung.

Apakah Eja juga membuat keputusan berubah imejnya? Ditanya kepadanya, sambil tersenyum Eja berkata tak dinafikan menutup aurat itu hukumnya wajib. Bagaimanapun, penampilannya ini sekadar menghormati majlis pada bulan Ramadan.

“Penampilan ini hanya mengikut syariat Islam dan tidak wajarlah jika saya berpakaian kurang sopan atau tak sepatutnya untuk hadir

di majlis seperti ini. Tetapi, insya-Allah mana tahu kalau Tuhan memberi seru pada saya untuk kekal bertudung.

“Apapun, dalam usia saya yang akan mencecah 40 pada tahun depan, memang saya akui ada berniat juga hendak kekal bertudung suatu hari nanti. Namun, saya takkan melakukan perubahan drastik kerana ditakuti niat tidak ikhlas dan kerana orang lain.

“Saya yakin akan bertudung suatu hari nanti apabila benar-benar sudah bersedia. Mungkin, saya akan mulakan dengan berselendang dulu pada awal penampilan dan selepas itu bertudung terus. Apa yang pasti, ketika itu hati saya ikhlas melakukannya.

“Penting untuk ikhlas berubah dari hati dan jiwa supaya penghijrahan dibuat berkekalan. Saya juga yakin, apabila menutup aurat sebenarnya memberikan lebih keyakinan diri. Justeru, biarlah Tuhan menentukan dan saya cuma harap yang terbaik,” kata Eja.

Berbicara mengenai karier, Eja berkata pada Ramadan dan Aidilfitri ini dia akan muncul dengan enam telefilem istimewa iaitu Demi Tuhan Ku Izinkan, Pelita, Satu Permintaan dan Cinta dari Kaabah disiarkan di Astro. Manakala, Lailatul Qadar (TV3) dan Masih Membara Cintaku (RTM).


Eja dan anak angkat

MEMAKLUMKAN akan beraya di kediaman keluarganya di Puchong dan kemudian di rumah mentua, di Ipoh, Perak pula, Eja berkata pada Aidilfitri keempat nanti, dia bersama suami akan mengadakan majlis ulang tahun kedua anak kesayangannya, Nur Eishal.

Selain majlis itu, Eja berkata dia juga sebenarnya ada mengambil dua anak angkat perempuan, Nur Syahirah Nabilah, 14, dan Puteri Maiara Elena, setahun lima bulan. Apapun, katanya kedua-dua anak angkat itu tidak tinggal bersamanya sekeluarga.

“Saya terbuka hati menerima Nur Syahirah sebagai anak angkat kerana terharu dengan permintaannya ketika kami bersua di Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong sewaktu saya menjayakan penggambaran telefilem Satu Permintaan. Hubungan kami amat rapat.

“Biarpun baru mengenali tetapi saya cukup menyenangi sikapnya. Saya banyak mendengar kisah hidupnya dan dia daripada keluarga susah. Adik-beradik pun ramai juga. Mengenai Maiara pula, dia anak angkat kepada rakan saya yang bekerja sebagai pramugari.

“Pertama kali bersua dengan Maiara, keletahnya cukup menarik perhatian saya. Dulu, sebelum bergelar ibu saya akui naluri dan jiwa ini kurang sensitif mengenai kanak-kanak. Tetapi, selepas melalui pengalaman mengandung dan melahirkan anak, saya cepat tersentuh.

“Saya sangat menyayangi kanak-kanak kerana mereka adalah anugerah dan rezeki daripada Allah. Justeru, mereka tidak harus dipersiakan. Jujur saya akui, sangat sedih setiap kali membaca berita bayi yang ditinggalkan ibu bapanya di tong sampah,” katanya.

Menurut Eja, dia yakin setiap anak itu dijanjikan rezeki daripada Allah maka dia sentiasa berdoa supaya bayi yang tidak berdosa itu ditinggalkan di kawasan rumah�nya. Kata Eja, dia sedia mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan membesarkannya.


PROFIL

NAMA: Siti Shahrizah Saifuddin
PANGGILAN KOMERSIAL: Eja
TARIKH LAHIR: 18 Januari 1972
USIA: 39 tahun
ASAL: Selangor Darul Ehsan
KERJAYA: Pelakon
STATUS: Berkahwin
ANAK: Nur Eishal
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Demi Rahsia, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Rindu Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Mya Zara, Seputih Qaseh Ramadan, Sadiq & Co, Wadi Unung, Ahmad Durrah, Mantera Anjasmoro, Demi Tuhan Ku Izinkan, Pelita, Satu Permintaan, Cinta Dari Kaabah, Lailatul Qadar dan Masih Membara Cintaku.
FILEM: Sara, Anak Mami The Movie, Bilut, Misi 1511, Kayangan, Malaikat Maut, Sepi dan Janin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: