Tuesday, August 16, 2011

Dunia sukarelawan Pai

PAI SYAHIRA...ganjaran harta atau wang ringgit tak pernah diharap apabila beramal.
PAI SYAHIRA...ganjaran harta atau wang ringgit tak pernah diharap apabila beramal.

RASA kosong, sepi, sunyi dan bersendirian selepas pemergian ayah tersayang sembilan tahun lalu menyebabkan gadis manis ini membuat keputusan membabitkan diri dengan kerja sukarela.

Bagi Pai Syahira Yahya, cara itu saja yang dapat mengisi kekosongan jiwa dan rasa rindu yang menebal terhadap insan yang tetap kekal menjadi idola dalam mengharungi liku kehidupannya.

  • Foto

    Pai Syahira Yahya...penyampai radio

  • Foto

    DISAYANGI..penghuni Rumah Baitul Husna, Bukit Sekilau sangat menyenangi kehadiran sukarelawan yang juga tenaga pengajar, Pai Syahira.

Bagaimanapun, dalam sunyi dan sendirian, gadis manis berusia 26 tahun yang bekerjaya sebagai penyampai radio Pahang fm itu tetap teruja ketika soalan mengenai kerja amal disuakan kepadanya walaupun ada masanya air mata bergenang apabila terkenangkan arwah ayahnya.

“Sejak kehilangan ayah (Yahya Abdul Ghani) kerana menghidap penyakit kanser hati, Pai seperti hilang arah untuk sementara waktu. Nafas tersekat dan bumi seolah-olah berhenti berputar.


“Bayangkan selama hampir 17 tahun Pai sentiasa ‘me�ngekori’ ke mana saja ayah pergi jika ada kelapangan. Kehilangannya membuatkan Pai hilang tempat bergantung dan mengadu nasib,” katanya dalam pertemuan dengan Harian Metro di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


Sebagai anak tunggal kepada ibu dan arwah bapa sebelum kedua-duanya berpisah ketika usianya tujuh tahun, Pai mengakui dia sangat rapat dengan arwah bapanya.

“Kami umpama dua badan satu nyawa. Arwah ayah adalah segala-galanya bagi Pai, justeru pemergian ayah begitu terkesan dan sehingga hari ini, Pai tidak pernah lupa menjenguk pusaranya sebelum ke tempat kerja,” katanya yang membahasakan dirinya Pai pada pertemuan selama hampir empat jam itu.

Bagi mengubat kesunyian di hati, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Pai mendaftar sebagai sukarelawan di Briged Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang.

Istimewanya, Pai memilih untuk membabitkan diri dalam kerja sukarela di rumah anak-anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mencurah bakti dan berkongsi rahsia kehidupan.

“Golongan ini berhak menikmati kehidupan sama seperti kita yang memiliki segalanya daripada segi makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi mereka kurang sesuatu iaitu kasih sayang.

“Mewah atau kaya berharta sekalipun, jika tiada ikatan dan jalinan kasih sayang, kehidupan seperti tidak bermakna, sepi dan kosong,” katanya.

Mengakui dirinya mudah tersentuh dengan apa jua perkara berkaitan anak kecil yang bergelar yatim piatu, anak terbiar, miskin, OKU, Pai bangkit sendirian, meng�abdikan diri jika ada kelapangan kepada insan kurang bernasib baik itu.

“Tidak salah kita membantu mereka kerana mereka juga makhluk-Nya yang amat memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini.

“Saya tidak mahu mereka melalui kehidupan ini sendirian kerana masih ramai insan yang sudi menghulurkan salam kasih sayang untuk meringankan derita di hati,” katanya.

Saat berbicara dengan gadis kelahiran Temerloh ini, senyuman manis tidak pernah lekang dari bibirnya, begitu juga lirikan mata bundar di sebalik kaca matanya waima kepada sesiapa juga yang baru mengenali dirinya.

“Senyuman itu sedekah dan Pai suka dengan cara begitu. Sesiapa saja yang mengenali Pai sudah tahu bagaimana perwatakan Pai kerana arwah ayah mengajar Pai bagaimana jalinan persahabatan bermula dengan sekuntum senyuman,” katanya.

Gadis manis yang mempunyai darah kacukan Pakistan itu begitu taksub dengan kerja kebajikannya sehingga ada kalangan teman menganggapnya ‘manusia paling bodoh’ di dunia kerana kerap merapatkan diri dengan golongan berkenaan.

“Saya tersentuh dengan kata-kata mereka, tetapi sebagai anak yatim dan sentiasa bersendirian, saya hanya mampu membalasnya dengan senyuman kerana Allah lebih mengetahui apa yang Pai lakukan selama ini,” katanya yang fasih berbahasa Urdu dan Arab ini.

Berbicara soal kerja sukarelanya, Pai tidak mengharapkan sebarang ganjaran harta atau wang ringgit kerana tujuannya hanya satu iaitu ingin mencurahkan semua kasih sayang kepada insan yang memerlukan.

“Pai tidak meletakkan harga untuk kerja yang dilakukan kerana tidak mahu ada jurang pemisah sesama insan, jika Pai dibayar, mungkin Pai menjadi tidak ikhlas membantu mereka kerana didalangi wang ringgit.

“Di rumah anak-anak yatim, Pai bantu mereka daripada segi pelajaran, beri panduan dan motivasi bagaimana untuk menjadi insan yang berjaya dan Muslimah yang soleh.

“Pai juga membawa mereka berkelah, membeli-belah di pasar raya, bersukan untuk memberi peluang mereka menikmati apa yang dilalui rakan mereka yang mempunyai keluarga,” kata pemegang Diploma Komunikasi Massa dan Media, Universiti Teknologi Mara, Alor Gajah, Melaka itu.

Jika ada masa terluang, Pai tidak lupa menjenguk ‘adik-adiknya’ mengikut giliran dan kehadirannya sentiasa dinanti dan disambut bagai tidak bertemu bertahun lamanya.

“Pada mereka, sekuntum senyuman yang Pai lontarkan kepada mereka cukup menghadirkan sinar kebahagiaan dan cahaya kegembiraan jelas terpancar setiap kali berbicara mengenai apa saja topik dengan Pai.

“Bagi Pai, jalinan kasih sayang bukan berdasarkan pertalian darah dan keturunan semata-mata, tetapi perlu berlandaskan curahan kasih sayang yang bukan dibuat-buat atau boleh dijual beli,” katanya.

Pai juga melakukan kerja sukarela di hospital, bertemu pesakit, berbual mesra dan bertanya khabar malah memperdengarkan bacaan Yasin kepada pesakit kritikal dan membantu menguruskan jenazah.

“Pai tidak kisah melakukan semua itu kerana ia adalah tugas untuk membantu mereka yang memerlukan sokongan untuk terus hidup,” katanya.

Menyelami impian masa depannya, tanpa silu, Pai berbisik ingin membina sebuah rumah kebajikan ‘Teratai Qudus’ yang menempatkan golongan kurang berupaya, miskin, anak yatim dan warga emas.

“Itu impian Pai untuk mencurahkan bakti dan membela nasib mereka kerana Pai tahu bagaimana perasaan seorang anak yatim yang kehilangan kasih sayang
dan hidup penuh sepi dan kosong.

“Pai mahu mereka gembira dan jika golongan ini ditempatkan dalam satu kawasan kediaman, hubungan mereka pasti terjalin erat kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: